Bekas Bintang England Michael Owen Dedahkan Dia Tidak Pernah Pulih Sejak Berusia 19 Tahun

owen_new

BEKAS BINTANG England, Michael Owen yang secara rasmi mengumumkan persaraannya sebagai pemain profesional menjelang hujung musim ini mendedahkan yang dia tidak pernah 100 peratus cergas sejak berusia 19 tahun.

Pemain Stoke City yang berusia 33 tahun itu berkata: “Saya mengalami kecederaan hamstring dalam perlawanan menentang Leeds United ketika berusia 19 tahun dan sejak itu ia tidak pernah sembuh sepenuhnya.”

“Saya sebenarnya bermain dalam keadaan tidak seratus peratus cergas tetapi hakikatnya saya teruskan juga,” ujarnya.

Owen, yang dikalungkan dengan anugerah Pemain Terbaik Eropah pada tahun 2001, telah menjaringkan 40 gol dalam 89 perlawanan mewakili England dan pada masa yang sama telah bermain mewakili kelab-kelab ternama Eropah dari Liverpool, Real Madrid, Newcastle dan termasuklah Manchester United sebelum menyertai Stoke tahun lalu.

Beliau juga mengakui kecederaan hamstring itu telah menjejaskan kepantasannya yang merupakan aset yang menjulang namanya sebagai seorang penyerang berbisa.

Owen mengakui yang dia membuat keputusan untuk menyertai Stoke dengan harapan akan dapat menemui semula sentuhan lama tetapi untuk sebab yang tidak dapat dijelaskan, harapan itu tidak menjadi kenyataan.

“Akhirnya saya telah membuat keputusan sebelum Krismas lalu bahawa ini akan menjadi musim saya yang terakhir sebagai seorang pemain profesional walaupun itu bukanlah perancangan asal saya,” katanya lagi.

Owen menambah beliau telah sampai ke satu rumusan sama ada pengurusnya berpendapat permainannya tidak cukup bagus untuk terpilih dalam kesebelasan utama atau permainannya tidak sesuai dengan sistem yang mahu dimainkan.

Tentang perancangan masa depannya selepas bersara nanti, Owen berkata yang dia sedang menimbang sama ada untuk menjadi pengulas televisyen atau media lain atau menubuhkan sebuah firma perundingan pemain.

“Saya telahpun memulakan perbincangan dengan beberapa syarikat penyiaran dan pada masa yang sama yang juga bercadang untuk menubuhkan Michael Owen Management Limited yang memberi fokus kepada membimbing pemain-pemain muda menempuh kareir yang mencabar dan penuh risiko ini,” kata Michael.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *