Benarkah Candi Borobudur Merupakan Monumen Peninggalan Nabi Sulaiman?

Candi Borobudur Merupakan Monumen Peninggalan Nabi Sulaiman? – Membaca judul diatas, tentu sahaja ramai orang yang akan mengerutkan dahinya, sebagai tanda ketidak kepercayaannya. Bahkan, mungkin begitu juga dengan kita sendiri. Nabi Sulaiman AS adalah seorang utusan Allah yang diberikan keistimewaan dengan kemampuannya menakluk seluruh makhluk ciptaan Allah, termasuk angin yang tunduk di bawah kekuasaannya atas izin Allah. Bahkan, burung dan jin sentiasa mematuhi perintah Nabi Sulaiman.

Menurut Sami bin Abdullah al-Maghluts, di dalam bukunya iaitu Atlas Sejarah Nabi Dan Rasul, bahawasanya Nabi Sulaiman diperkirakan hidup pada abad ke-9/10 Sebelum Masihi (989-931 SM). Sementara itu, Candi Borobudur sebagaimana tertulis dalam pelbagai buku sejarah, didirikan oleh Dinasti Syailendra pada akhir abad ke-8 Masihi. Oleh itu, wajarlah apabila ramai orang yang mungkin tertawa, geli, dan menggeleng-gelengkan kepalanya apabila dikatakan bahawa Candi Borobudur didirikan oleh Nabi Sulaiman AS.

Candi Borobudur merupakan candi Buddha. Berdekatan dengan Candi Borobudur adalah Candi Pawon dan Candi Mendut. Beberapa kilometer dari Candi Borobudur, terdapat Candi Prambanan, Candi Kalasan, Candi Sari, Candi Plaosan, dan lain-lain. Candi-candi yang berdekatan Prambanan ini merupakan candi Buddha yang ditubuhkan sekitar tahun 772 dan 778 Masihi.

Lalu, apakah hubungannya dengan Nabi Sulaiman? Benarkah Candi Borobudur merupakan peninggalan Nabi Sulaiman yang hebat dan agung itu? Apakah bukti-buktinya? Benarkah ada jejak-jejak Islam di candi Buddha terbesar itu? Tentu perlukan kajian yang menyeluruh dan melibatkan pelbagai pihak untuk membuktikan kesahihan dan kebenarannya.

Namun, apabila persoalan di atas diajukan kepada KH Fahmi Basya, ahli matematik Islam, beliau akan menjawabnya; “Benar, Borobudur merupakan peninggalan Nabi Sulaiman yang ada di tanah Jawa”.

Di dalam bukunya, Matematik Islam 3 (Dikeluarkan pada 2009), KH Fahmi Basya menyebutkan beberapa ciri-ciri Candi Borobudur yang menjadi bukti sebagai peninggalan putera Nabi Daud tersebut. Di antaranya adalah hutan atau negeri Saba, makna Saba, nama Sulaiman, buah maja yang pahit, dipindahkannya istana Ratu Saba ke wilayah kekuasaan Nabi Sulaiman, bangunan yang tidak disiapkan oleh para jin, tempat berkumpulnya Ratu Saba, dan lain-lain.

Dalam Al-Quran, kisah Nabi Sulaiman dan Ratu Saba disebutkan dalam surah An-Naml [27]: 15-44, Saba [34]: 12-16, al-Anbiya [21]: 78-81, dan lain-lain. Tentu sahaja, ramai yang tidak akan mempercayai apabila dikatakan bahawa Borobudur merupakan peninggalan Nabi Sulaiman.

Di antara alasannya, kerana Nabi Sulaiman hidup pada abad ke-9/10 SM, sedangkan Borobudur dibina pada abad ke-8 Masihi. Kemudian, menurut banyak pihak, peristiwa dan kisah Nabi Sulaiman itu berlaku di kawasan-kawasan Palestin, dan Saba di Daerah Yaman Selatan, sedangkan Borobudur di Indonesia.

Tentu sahaja hal ini menimbulkan kekeliruan. Apatah lagi setelah KH Fahmi Basya menunjukkan bukti-buktinya berdasarkan keterangan Al-Quran bersandarkan kepada pemahaman beliau. Lalu, apakah bukti sahih andai Borobudur merupakan peninggalan Nabi Sulaiman atau bangunan candi itu dibina atas perintah Nabi Sulaiman?

Menurut Fahmi Basya melalui pemerhatian beliau terhadap relief-relief yang ada, sememangnya terdapat beberapa simbol, yang mengesahkan teorinya dengan kisah Nabi Sulaiman dan Ratu Saba yang dikatakan sebenarnya berada di Jawa bukan di wilayah Timur Tengah sebagaimana diyakini ramai orang sekarang, sesuai dengan keterangan di dalam Al-Quran yang diyakini oleh Fahmi Basya melalui kajiannya.  

Pertamanya adalah tentang tabut, iaitu sebuah tempat atau peti yang mengandungi warisan Nabi Daud AS kepada Nabi Sulaiman. Kononnya, di dalamnya terdapat kitab Zabur, Taurat, dan Tongkat Musa, serta ia mampu memberikan ketenangan. Pada suatu relief yang terdapat di Borobudur, baginya jelas tampak sebuah peti atau tabut yang dijaga oleh seseorang.

“Dan Nabi mereka mengatakan kepada mereka: ‘Sesungguhnya tanda ia akan menjadi raja, ialah kembalinya tabut kepadamu, di dalamnya terdapat ketenangan dari Tuhanmu dan sisa dari peninggalan keluarga Musa dan keluarga Harun; tabut itu dibawa malaikat. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda bagimu, jika kamu orang-orang yang beriman. ” (QS Al-Baqarah [2]: 248).

Kedua, kerja pembinaan yang dilakukan oleh jin yang tidak menyelesaikan ketika mengetahui Raja Nabi Sulaiman telah wafat. (QS Saba [34]: 14). Ketika mengetahui Nabi Sulaiman telah wafat, para jin pun menghentikan pekerjaannya. Dan bukti bagi ayat ini bersandarkan pada pemahaman KH Fahmi Basya ialah di Borobudur, terdapat patung yang belum disiapkan pembuatannya. Patung itu disebut dengan gelaran Unfinished Solomon.

Ketiga, para jin diperintahkan membina bangunan yang tinggi dan membuat patung-patung. (QS Saba [34]: 13). Seperti diketahui, banyak patung Buddha yang ada di Borobudur. Sedangkan gedung atau bangunan yang tinggi yang dimaksudkan itu adalah Candi Prambanan.

Keempat, Sulaiman bercakap dengan burung-burung dan haiwan-haiwan. (QS An-Naml [27]: 20-22). Reliefnya juga ada. Bahkan, sejumlah frame relief Borobudur bermotifkan bunga dan burung. Terdapat pula sejumlah relief haiwan lain, seperti gajah, kuda, babi, anjing, monyet, dan lain-lain.

Kelima, kisah Ratu Saba dan rakyatnya yang menyembah matahari dan bersujud pada sesama manusia. (QS An-Naml [27]: 22). Menurut Fahmi Basya, Saba ertinya berkumpul atau tempat berkumpul. Ungkapan burung Hud-hud tentang Saba, kerana burung tidak mengetahui nama daerah itu. “Jangankan burung, manusia juga ketika berada di atas pesawat, tidak akan tahu nama sebuah bandar atau negeri,” katanya bagi memperjelaskannya. Ditambah Fahmi Basya, tempat berkumpulnya manusia itu adalah di Candi Ratu Boko yang terletak kira-kira 36 kilometer dari Borobudur. Jarak ini juga merupakan jarak kemampuan burung dalam menempuh perjalanan dalam sekali penerbangan.

Keenam, Saba ada di Indonesia, yakni Wonosobo. Dalam Al-Quran, wilayah Saba ditumbuhi pohon yang sangat banyak. (QS Saba [34]: 15). Dalam kamus bahasa Jawi Kuno, yang disusun oleh Dr Maharsi, kata ‘Wana’ bermakna hutan. Maka, menurut Fahmi, wana saba atau Wonosobo adalah bermaksud “Hutan Saba”.

Ketujuh, buah ‘maja’ yang pahit. Ketika banjir besar (Sail al-Arim) menimpa wilayah Saba, pokok-pokok yang ada di sekitarnya menjadi pahit sebagai azab Allah kepada orang-orang yang mendustakan ayat-ayat-Nya. “Tetapi, mereka berpaling ingkar, maka Kami datangkan kepada mereka banjir yang besar [1236] dan Kami gantikan kedua kebun mereka dengan dua kebun yang ditumbuhi (pohon-pohon) yang berbuah pahit iaitu pohon Atsl dan sedikit dari pohon Sidr.” (QS Saba [34]: 16).

Kelapan, nama Sulaiman menunjukkan sebagai nama orang Jawa. Awalan kata ‘su’merupakan nama-nama Jawa. Dan, Sulaiman adalah satu-satunya nabi dan rasul yang 25 orang, yang namanya berawalan ‘Su’. Lalu, baginda mewariskan negeri itu yang diperintah oleh keturunannya yang juga bernama dengan awalan depannya SU, antaranya adalah Sukarno, Suharto, dan Susilo serta meninggalkan sebuah negeri yang bernama SLEMAN di Jawa Tengah yang dinisbatkan kata Sleman itu berasal daripada kata Sulaiman.

Kesembilan, Sulaiman mengirimka sepucuk surat kepada Ratu Saba melalui burung Hud-hud. “Pergilah kamu dengan membawa suratku ini.” (QS An-Naml [27]: 28). Menurut Fahmi, surat itu ditulis di atas plat emas sebagai lambang simbolik kepada kekayaan Nabi Sulaiman. Ditambahkannya lagi, cebisan surat emas itu telah ditemui di sebuah kolam di Candi Ratu Boko.

Kesepuluh, bangunan yang hanya tinggal sedikit (Sidrin qalîl). Lihat surah Saba [34] 16). Bangunan yang hanya tinggal sedikit itu sebenarnya adalah wilayah Candi Ratu Boko. Dan di sana terdapat sejumlah stupa yang tinggal sedikit. “Ini membuktikan bahawa Istana Ratu Boko adalah istana Ratu Saba yang dipindahkan atas perintah Sulaiman,” kata Fahmi menegaskan.

Selain bukti-bukti di atas, kata Fahmi, masih banyak lagi bukti lain yang menunjukkan bahawa kisah Ratu Saba dan Nabi Sulaiman berlaku di Indonesia. Seperti terjadinya angin Monsun yang bertiup dari Asia dan Australia (QS Saba [34]: 12), kisah istana yang hilang atau dipindahkan, dialog Ratu Balqis dengan para pembesarnya ketika menerima surat Nabi Sulaiman (QS An-Naml [27]: 32), nama Kabupaten Sleman, Kecamatan Salaman, Desa Salam, dan lain-lainnya.

PRINCE OF SABA atau “RATU BALQIS / RATU SABA” adalah dikatakan sebagai “RATU BOKO” yang sangat terkenal dikalangan masyarakat Jawa, sementara patung-patung di Candi Borobudur yang selama ini dikenali sebagai patung Buddha pula sebenarnya dikatakan adalah patung model bidadara dalam syurga yang menjadikan Nabi Sulaiman sebagai model mereka dan berambut keriting.

Dengan bukti-bukti di atas, Fahmi Basya meyakini bahawa Borobudur merupakan peninggalan Nabi Sulaiman. Bagaimana dengan pembaca sekalian? Hanya Allah Yang Maha Mengetahuinya.

Sumber : Misteri Dan Keajaiban Alam


8 Responses

  1. zack says:

    Mengarut! Orang2 jawa indonesia ni bukan betul sangat..entah2 pengamal kejawen yg buat tu.

    FYI,candi borobudur dibina oleh Wangsa Sailendra,Ahli kerabat Sriwijaya..Kaum kerabat Sriwijaya berasal dari indochina iaitu sebuah Kerajaan Kuno yang bernama Funan..Relatifnya di pulau jawa sebelum kedatangan Wangsa sailendra yang menganut agama Buddha rakyat di pulau jawa rata2nya menganut agama Hindu.

    Terima sahajalah kronologi sejarah nusantara ini yg bermula dari agama pagan,hindu-buddha dan seterusnya islam..kenapa perlu mengaitkan islam di zaman bukan sepatutnya?

    • nohara kama says:

      yeAHHH…sooo trueee..sedangkan pada zaman nabi Ibrahim A.s.. Allah memerintahan berhala diruntuhkan..kenapa nk bina patung? nampak sangat nipunye.. -_-

      • Humaidi says:

        buat saja tandingannya secara ilmiah kalau mau membantah…nabi sulaiman buat patung bukan untuk disembah. nabi ibrahim jamannya sdh beda, masyarakatnya mulai menyembah patung

  2. Ismail says:

    Nohara kama:saya pun xpasti prkara ni betul ke x,tp yg nabi sulaiman arah jin bina patung tu memang btul..sila rjuk surah saba’..bzanya,ptung tu bkn utk dsembah,sdgkn patung yg druntuhkan nabi ibrahim tu sbb patung tu dipuja kaumnya..wallahu a’lam

  3. Sepol says:

    Dinyatakan dalam Al-Quran ayat ke 13.. surah Saba. “Golongan jin itu membuat utk Nabi Sulaiman apa yang ia kehendaki.. dari bangunan2 yang tinggi.. dan PATUNG2, dan Pinggan2 hidangan yang besar seperti kolam”

    Tapi korang nie.. dgn senang hati kata sesat @ tipu hanya sepintas lalu tanpa mengkaji??? Astagfirullah…

  4. eWan says:

    Nusantara sebelum kemasukan Islam, atok moyang kita beragama Hindu, agama Dewa2, puja semangat dan Jin2 dsbnya. Selepas itu masuk pulak agama Buddha maka terdirilah candi2 Borobudur dll di Jawa. Maka mereka gabungkan metos2 Hindu dan Buddha berupa ukiran2 pada dinding2 candi. Candi Borobudur itu koq lebeh kurang sama saja dgn Angkor Wat di Kemboja tuh.. Bersyukurlah kita kepada Allah, bersababkan melalui Para Wali dari Pewaris2 Nabi dan Mubaligh2 Arab yg membawa dan menyebarkan Agama Islam keNusantara. Jika tidak kita pun maseh tetap kekal beragama Hindu dan Buddha dsbnya itu..

    Sejak Prof Arysio Santos mendakwa “Atlantis – The Lost Continent Finally Found” yakni Nusantara, maka ramei orang2 Jawa menyakini sejarah Nabi Sulaiman AS dan Puteri Balkis berkisar di Jawa. Jika bener candi Borobudur tu peninggalan Nabi Sulaiman AS, suruh aja Yahudi Dajjal perampok tuh berambos keluar dari Palestin dan berpindah keJawa. Buat apa Yahudi bermati2an mahu robohkan Masjidil Aqsa utk bina semula Haikal Sulaiman?? Bukankah lebeh baik jemput aja Yahudi ke Jawa karna itulah “Promised Land” bagi Yahudi, bukannya di Palestin.. Yg herannya, mengapa patong Sulaiman tuh saling tidak tumpah seperti patong Buddha..?? Apakah Sulaiman itulah Buddha, ato Buddha itulah juga Sulaiman..?? Ini soalan yg fening lagi membengongkan… Oleh itu kajian tahun2 kewujudan mereka berdua maseh perlu dilakukan dgn teliti sebagai bukti2 kukoh.. Wallahu’alam…

  5. Dhila says:

    Hahaha kenapa pada ngurat??? Faktanya sudah terungkap… Buktinya sudah banyak 😀

  6. sulaiman says:

    Islam dibawa oleh nabi mohammad saw.jadi islam tiada kena mengena dengan kepercayaan orang orang sebelumnya.Al-Qur’an yang membuktikan bahwa semuanya itu memang ada.cubalah berpikir kalau komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *