Boateng Tak Kejar Wang

397722_403903946355603_1366049651_n

Kapten T-Team, George Boateng, bermain bola bukan kerana wang tetapi nama.

Menurut bekas pemain antarabangsa Belanda kelahiran Ghana itu, dia bangga menjadi Boateng pertama beraksi di Liga Perdana Inggeris dan Boateng pertama bermain dalam Liga Malaysia (Liga M).

Baginya, Liga M tidak kurang hebatnya dan pemain tengah berusia 37 tahun itu mahu peminat bola sepak tanah air mengingati namanya selama-lamanya.

“Untuk itu, saya mesti berjaya di sini dan akan melakukan apa saja untuk memastikan pasukan Titans meraih sekurang-kurangnya satu kejuaraan musim ini.

“Saya tahu pasukan yang bertanding dalam Liga Super musim ini hebat-hebat namun yakin pasukan yang saya sertai juga mampu bersaing dan tidak ada sebab kenapa kami tidak boleh menempa kejayaan,” katanya.

Boateng yang sebelum ini pernah mewakili kelab Aston Villa, Middlesborough dan Hull City berkata, dia tertarik untuk beraksi dengan T-Team kerana pasukan berstatus kelab itu dibimbing Peter Butler, bekas pemain EPL yang disegani ramai.

“Liga Super di sini juga semakin menjadi tarikan ramai pemain kelab ternama Eropah seperti Daniel Guiza dan Simone Del Nero yang sudahpun disambar Johor Darul Takzim.

“Bekas pemain Aston Villa seperti saya, Bosko Balaban juga bermain di negara ini bersama Selangor musim lalu dan kini giliran saya pula datang dan membantu menaikkan nama bola sepak Malaysia.” Kata Boateng, keistimewaan T-Team baginya terletak di barisan kejurulatihan profesional yang mampu membentuk pasukan berjaya.

Boeteng01

“Selain Butler, The Titans juga mempunyai jurulatih kecergasan Croatia, Sebastian Knapic yang terbukti mampu meningkatkan prestasi pemain.

“Bagi saya kecergasan paling penting. Pemain hebat sekalipun andai tidak cergas, tidak berguna juga.” Katanya lagi, jurulatih penjaga gol, Kondic Dado, juga dari Croatia, berkebolehan membentuk penjaga gol yang baik dan sekiranya diberi peluang, Iqbal Suhaimi dan Suhardy Alby bakal menjadi penjaga gawang berkaliber satu masa nanti.

“Saya sedia mencurah ilmu kepada pemain muda T-Team dan tahu rakan sepasukan, Caleb Folan juga akan berbuat demikian.

“Saya ke sini bukan untuk bercuti tetapi memenangi gelaran,” katanya.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *