Budak Hilang Bernama Aisyah Ditemui di Pulau Pinang

1098125_614231855288917_2019760609_n-565x293

GEORGE TOWN – Kanak- kanak perempuan Wan Aisyah Wan Exzan yang dilaporkan hilang selepas didakwa dilarikan teman lelaki ibunya di Rawang, Selangor pada Jumaat lepas, hari ini ditemui di bandar George Town di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah berkata kanak-kanak tiga tahun itu diserahkan kepada polis oleh seorang wanita yang mengenalkan dirinya sebagai ibu kepada lelaki yang melarikan kanak-kanak itu.

Katanya kanak-kanak itu diserahkan di Balai Polis Sungai Nibong, di sini pada 11 pagi ini.

“Kanak-kanak itu dalam keadaan selamat dan difahamkan ibunya (dari Gombak) dalam perjalanan ke sini (Balai Polis Sungai Nibong),” katanya yang enggan mengulas lanjut ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Wan Aisyah dilaporkan hilang oleh ibunya pada 2 Ogos selepas menyerahkannya kepada suspek di sebuah pasar raya di Rawang sebelum lelaki itu menghilangkan diri bersama anaknya.

Ibunya yang dikenali sebagai Cikgu Arbaiyah dalam laman Facebook sebelum itu turut membuat aduan polis bahawa beliau telah menyerahkan wang sebanyak RM25,000 kepada lelaki terbabit pada hari sama sebagai modal perniagaan.

Berita tentang kehilangan Wan Aisyah mendapat perhatian meluas di laman media sosial apabila orang ramai menggesa tindakan pantas pihak polis untuk mencarinya. – BERNAMA


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *