Butler bukti masih berbisa

LIGA SUPER 2013KUALA TERENGGANU – Peter Butler boleh mendabik dada membuktikan sentuhannya masih berbisa selepas skuad bimbingannya T-Team mengejutkan juara treble, Kelantan 1-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini..

Bertambah manis, kemenangan itu dicapai ketika berdepan bekas pasukan yang pernah dibimbingnya dua tahun lalu.

Berbanding tuan rumah yang turun dengan semangat membara untuk mencari gol awal, pelawat bermula agak perlahan dan kurang konsisten.

Kealpaan mereka akhirnya dihukum seawal minit ketujuh, apabila pemain muda The Titans, Mohd. Aizulridzwan Razali bijak menyudahkan umpanan pemain import, Caleb Folan selepas menerima hantaran silang Ahmad Syamim Yahya.

Tersentak dengan jaringan itu, Kelantan mula memperkemaskan jentera serangan, namun masih gagal untuk menembusi benteng pertahanan tuan rumah yang mudah mematahkan serangan lawan.

Bermula babak kedua, kedua-dua pasukan mula memperlahankan permainan dan tidak banyak melakukan percubaan menarik.

Perlawanan juga lebih banyak berkisar di tengah padang sehingga wisel penamat ditiupkan pengadil, Zulkifli Ahmad.

Zulkifli turut menjadi tumpuan penonton pada perlawanan itu selepas bertindak melayangkan enam kad kuning iaitu masing-masing empat untuk T-Team dan dua untuk Kelantan.

Mengulas mengenai keputusan itu, pengendali T-Team, Peter Butler nyata berpuas hati dengan corak permainan yang dipamerkan anak-anak buahnya kerana berjaya mengekang asakan Kelantan sepanjang perlawanan itu.

“Saya senang sekali… Kita bermain baik hari ini dan secara teknikalnya, semuanya OK,” katanya kepada pemberita semalam.

Hakikat sama turut diakui pengendali Kelantan, Bojan Hodak sambil menyifatkan pasukan tuan rumah beraksi berhak menang pada perlawanan itu.

“Pada saya, tiada siapa pun perlu disalahkan akibat kekalahan ini kerana secara keseluruhannya saya fikir kita memang beraksi kurang baik berbanding T-Team,” ujar beliau.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *