Dr. M: Barisan Nasional Akan KALAH TERUK Kalau Gagal Tangani Kenaikan Harga

mahathir

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed tidak menolak kemungkinan BN akan kalah teruk pada pilihan raya akan datang sekiranya isu kenaikan harga barangan dan perkhidmatan tidak diatasi dengan segera.

Menurutnya, biarpun kerajaan kini giat menjalankan operasi pemantauan dan kawalan harga di seluruh negara, namun jika kerajaan gagal menangani kemarahan rakyat itu, peluang mempertahankan kerusi kerajaan dikhuatiri tipis.

“Ya boleh, tapi sekarang ini saya nampak ada sedikit kawalan harga yang dilakukan oleh pemerintah, ini adalah usaha yang baik tetapi pendapat Tun Daim itu memanglah mempunyai asasnya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan forum yang bertajuk ‘Hak Asasi Kemanusiaan Dalam Tradisi Islam’ di Pusat Islam, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas lanjut kenyataan bekas menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin pada Selasa lalu meramalkan BN akan tumbang sekiranya pilihan raya diadakan ketika kemarahan sedang memuncak berikutan isu kos sara hidup.

Kata Daim lagi, kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak yang tidak cekap dan boleh mendatangkan mudarat hilangnya kuasa BN dalam PRU14 akan datang.

“Kerajaan gagal mengawal isu kenaikan harga barang.

“Isu pengurangan subsidi yang selama ini dinikmati rakyat perlu diteruskan dengan mengurangkan perbelanjaan kerajaan di mana rakyat nampak kerajaan boros dalam perbelanjaan negara,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas isu kalimah ALLAH, Mahathir menegaskan, kerajaan perlu mengembalikan keputusan asal hanya penganut Kristian di Sabah dan Sarawak sahaja yang diberi kebenaran menggunakan Bible dalam Bahasa Melayu.

“Ketika saya dalam kerajaan, penyelesaiannya ialah kitab Bible berbahasa Melayu itu hanya digunakan di Sabah dan Sarawak.

“Cuma kita tidak perlukannya di Semenanjung Malaysia,” katanya lagi. – SINAR HARIAN


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *