FAM nafi laporan ‘pilih kasih’

imagePERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam mengeluarkan kenyataan mengenai insiden selepas perlawanan melibatkan pemain pasukan Selangor dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada saingan Piala FA pada 25 Januari lalu di Stadium Shah Alam.

Kenyataan itu dikeluarkan berdasarkan gesaan daripada salah satu akhbar arus perdana yang menyatakan ‘FAM pilih kasih’ kerana gagal mengambil tindakan terhadap insiden ‘pergaduhan’ berkenaan.

Laporan itu menyebut, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan, FAM (JKPT) dan Setiausaha Agung Selangor Datuk Hamidin Mohd Amin, campur tangan bagi menyelesaikan isu ini di luar pengetahuan  Jawatankuasa Tatatertib FAM.

Perkara ini semua adalah tidak benar atau tidak tepat dan berikut adalah penjelasan daripada FAM: “Insiden ini adalah di bawah bidang kuasa Jawatankuasa Tatatertib FAM, di mana Jawatankuasa-Jawatankuasa FAM yang lain seperti JKPT tidak boleh mempengaruhi apa-apa keputusan yang akan, sedang atau sudah diambil oleh Jawatankuasa tersebut. Ini adalah selaras dengan kedudukan Jawatankuasa tersebut sebagi badan bebas di bawah Statut FAM.

“Pendakwaan terhadap kesalahan yang dilakukan semasa perlawanan boleh dibuat dalam masa dua (2) tahun daripada tarikh kejadian iaitu mengikut Perkara 6.1.1 Kod Tatatetib FAM yang mana ia adalah selari dengan Article 42.1 AFC Diciplinary Code dan Article 42.1 FIFA Disciplinary Code (2011).

“Walau bagaimana pun FAM tidak pernah mengambil masa sehingga dua tahun untuk membuat pendakwaan.

“Pihak sekretariat telah meneliti laporan yang telah dibuat oleh ‘Match Commissioner’ (Wakil FAM dalam Perlawanan tersebut) yang dengan jelas menyebut supaya rujukan lanjut hendaklah dibuat melalui rakaman video. FAM juga ada menerima laporan daripada pengadil dan penolong pengadil, tetapi tidak menyebut mengenai insiden tersebut kerana pegawai berkenaan telah pun meninggalkan padang permainan sebelum kejadian berlaku. FAM telah menerima rakaman video yang diperoleh daripada Persatuan Bola Sepak Selangor tetapi tidak menunjukkan dengan jelas kejadian tersebut, kerana rakaman hanya hingga tamat perlawanan sahaja dan tiada kejadian selepas tamat perlawanan. Oleh yang demikian sekretariat sedang berusaha untuk mendapatkan rakaman dari sumber lain, iaitu daripada stesen lain-lain TV dan ini mestilah mengambil masa.

“Setelah rakaman tersebut diperoleh, ia akan dibentangkan ke Mesyuarat  Jawatankuasa Tatatertib untuk membincang dan meneliti klip video tersebut sebelum pertuduhan dibuat. Ini bertujuan supaya FAM tidak membuat pertuduhan yang salah atau tidak tepat. Jika tiada klip video tersebut, kes ini akan juga dirujuk kepada Mesyuarat  Jawatankuasa Tatatertib pada 20 Februari 2013 (hari ini) untuk diteliti sebelum pertuduhan dibuat,” kata kenyataan itu semalam.

 


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *