FC Ryukyu intai dua pemain Harimau Muda lagi

925289_33_preview

Kuala Lumpur: Beberapa lagi pemain Harimau Muda A termasuk Gary Steven Robbat, Syahrul Azwari Ibrahim, Rozaimi Abd Rahman dan Irfan Fazail turut berpeluang menyertai kelab divisyen tiga Jepun, FC Ryukyu jika berjaya menambat hati pengurusan kelab itu yang berkunjung ke ibu negara pada 25 Februari ini.

Kunjungan pengurusan kelab itu bertujuan untuk mengadakan perbincangan lanjut dengan dua pemain sayap Harimau Muda A, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dan Wan Zack Haikal Wan Nor mengenai tawaran kontrak yang dibuat baru-baru ini, selain ingin menilai kemampuan dua pemain tengah berkenaan.

Jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee, berkata delegasi dari FC Ryukyu itu akan berada di ibu negara selama tiga atau empat hari bermula 25 Februari ini selepas skuad B-23 negara pulang daripada aksi persahabatan menentang skuad kebangsaan Myanmar di Yangon, 22 Februari ini.

“Kehadiran delegasi terbabit untuk mengadakan perbincangan lanjut mengenai tawaran kontrak dengan Wan Zaharulnizam dan Wan Zack Haikal, selain ingin menilai Gary, Syahrul Azwari, Rozaimi, Irfan serta beberapa pemain lain.

“Saya diberitahu, kelab itu mahukan seorang atau dua lagi pemain Harimau Muda A.

“Jadi mereka akan melihat sesi latihan kami dan dalam tempoh berkenaan saya cuba mengadakan satu perlawanan persahabatan untuk memberi peluang pemain memperagakan kemampuan mereka di hadapan delegasi FC Ryukyu,” katanya semalam.

Pada 2 Februari lalu, ketika mengadakan latihan dan empat perlawanan persahabatan di Gold Coast, Australia, Kim Swee dilaporkan berkata, Wan Zaharulnizam dan Wan Zack Haikal ditawarkan kontrak menyertai FC Ryukyu dan jika semuanya berjalan lancar, dua pemain terbabit akan ke Okinawa, Mac depan.
Beliau berkata, perbincangan itu dilakukan lebih berhati-hati membabitkan pihak kelab dan pemain itu sendiri bagi memastikan ‘pisang tidak berbuah dua kali’ seperti berlaku kepada bekas pemainnya, Nazmi Faiz Mansor yang hanya tujuh bulan bersama kelab Portugal, SC Beira-Mar sebelum pulang ke tanah air menyertai PKNS FC, awal bulan ini. Sumber Berita Harian


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *