GAMBAR: Tokong Guna Nama Orang Islam

image9

KRUBONG – Kewujudan sebuah tokong di kawasan perindustrian Krubong di sini yang menggunakan nama orang Islam menimbulkan tanda-tanya dalam kalangan masyarakat Islam di situ.

Menurut mereka, tokong itu wujud sejak kira-kira 30 tahun lalu, namun hanya menyedari ia menggunakan nama “Datuk Haji Jawi Shamsuddin” sejak dua minggu lalu.

Seorang penduduk, Sham Kamat, 47, berkata, dia tidak berniat untuk mencampuri aktiviti keagamaan kaum lain namun, tindakan pihak terbabit menggunakan nama orang Islam memang tidak boleh diterima.

Menurutnya, perkara itu perlu disiasat pihak berkuasa termasuk untuk mengetahui sebab mengapa mereka menggunakan nama orang Islam di tokong berkenaan.

“Kita tidak mahu mengganggu urusan atau aktiviti keagamaan kaum lain tetapi tindakan mereka menggunakan nama ini boleh menimbulkan kekeliruan orang ramai.

“Memanglah hari ini kerajaan melaungkan slogan 1Malaysia tetapi janganlah sampai isu keagamaan pun hendak ‘di 1Malaysiakan’,” katanya, semalam.

Sham berkata, tokong berkenaan juga terletak hanya kira-kira 10 meter dari surau tempat pekerja kilang terbabit menunaikan solat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Penguatkuasa Jabatan Agama Islam (Jaim), Rahimin Bani ketika dihubungi berkata, penggunaan nama yang berkaitan Islam atau orang Islam seperti Datuk Haji Jawi Shamsuddin tidak sepatutnya dilakukan oleh bukan Islam apatah lagi ia diletakkan di tokong.

“Perkara ini boleh menimbulkan keresahan dan kemarahan masyarakat Islam. Ia juga boleh ditafsirkan sebagai menghina Islam.

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) diharap dapat menguatkuasakan garis panduan pembinaan rumah-rumah ibadat bukan Islam,” katanya.

Beliau turut mengharapkan kerjasama semua pihak bagi memastikan Islam terus dimartabatkan di arus perdana seiring dengan peruntukan perlembagaan negara.

“Tindakan undang-undang juga akan dikuatkuasakan kepada pihak yang sengaja menimbulkan kegusaran dan isu sensitif umat Islam,” katanya. – Sinar Harian


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *