Google bina lapangan terbang sendiri

pix_gal0San Jose: Banyak syarikat memiliki dan menguruskan jet korporat ketika ini tetapi Google pula merancang untuk memiliki lapangan terbang kendalian sendiri.

Satu panel pegawai negeri California kini menilai cadangan membina lapangan terbang milik Google di kawasan seluas 11.7 hektar di sebelah barat Lapangan Terbang Mineta San Jose.

Cadangan itu dikemukakan oleh Signature Aviation membabitkan kos AS$82 juta (RM246 juta) termasuk sebuah terminal dan hangar.

Ia juga membabitkan ruang pejabat dan kedai seluas 3,065 meter. Penyokong projek itu percaya, ia akan mewujudkan beratus-ratus peluang pekerjaan selain menghasilkan perolehan sebanyak AS$2.6 juta (RM7.8 juta) setahun untuk negeri ini.

Pengurusan lapangan terbang itu akan dikongsi bersama antara Signature Aviation dan Blue City Holdings San Jose LLC yang akan menyewakan lapangan terbang persendirian itu daripada pentadbiran negeri selama 50 tahun.

Blue City menguruskan pesawat milik Google. Cadangan pembinaan di kawasan berkenaan turut membabitkan perkhidmatan untuk pelanggan Google.
Akhbar San Jose Mercury News melaporkan, tiga eksekutif tertinggi Google mempunyai sekurang-kurangnya lapan jet termasuk sebuah Boeing 767.

Pegawai lapangan terbang berkata, mereka memberi sokongan kepada pembinaannya kerana akan membantu pertumbuhan ekonomi tempatan.

Pengarah agensi awam, Aviation San Jose, William Sherry dan empat penilai meletakkan taraf pembinaan lapangan terbang itu sebanyak 991 daripada 1,000 mata.

Projek itu akan menghasilkan 36 kerja tetap dan 150 hingga 200 pekerjaan sementara manakala 370 lagi dihasilkan secara tidak langsung.

“Projek ini tepat pada masanya selepas kami terpaksa hentikan pekerja dan hadapi kemelesetan ekonomi sejak bertahun-tahun lalu,” kata Sherry. – AGENSI


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *