Hajat besar Ryukyu Pancing Pemain Malaysia

images

Kuala Lumpur: Misi kelab Ryukyu FC untuk melayakkan diri ke Divisyen Dua Liga Jepun (J-2) dalam tempoh tiga tahun lagi menjadi pendorong kelab berpangkalan di Okinawa itu untuk memancing dua pemain muda negara, Wan Zack Haikal Wan Noor dan Wan Zaharulnizam Zakaria.

Kelab Divisyen Tiga itu menunjukkan kesungguhan untuk mendapatkan khidmat pemain Harimau Muda A itu apabila pengerusinya, Nobuyuki Sakakibara dan pengurus, Hiroyuki Shinzato sanggup bertandang ke Kuala Lumpur, Isnin ini.
Kedatangan wakil dari Ryukyu itu untuk membincangkan soal tawaran kontrak secara serius selain meninjau sesi latihan skuad kendalian Ong Kim Swee selama tiga hari di Kuala Lumpur.

“Saya sudah bertemu pengurus kelab itu sebelum ini dan beliau menerangkan mengenai misi mereka untuk layak bermain di J-2 pada 2015. Mereka menunjukkan minat mendapatkan khidmat Wan Zack dan Wan Zaharulnizam.
“Mereka akan datang ke Kuala Lumpur pada Isnin ini untuk membincangkan kontrak kerana banyak perkara perlu diteliti terlebih dulu seperti pelepasan pemain bagi tugasan antarabangsa bersama skuad negara khususnya untuk Sukan SEA Myanmar hujung tahun ini,” katanya.
Ryukyu berharap kedua-dua pemain sayap itu boleh menandatangani kontrak sebelum musim 2013 bermula iaitu pada 10 Mac hingga 24 November.

Wan Zack, 22, dan Wan Zaharulnizam, 21, pernah menjalani percubaan selama 19 hari bersama Ryukyu, Jun tahun lalu dan dilapor berjaya menarik perhatian jurulatih, Takeo Matsuda.
Menurut Kim Swee, walaupun Ryukyu bertaraf kelab amatur dan menamatkan saingan di tangga kesembilan musim lalu, beliau menganggap peluang kedua-dua pemain berkelana di Jepun tidak boleh dilepaskan.

“Saya sudah berbincang dengan Wan Zack dan Wan Zaharulnizam mengenai taraf liga di sana ketika mereka menjalani latihan dan mereka mengaku taraf liga itu lebih tinggi. “Lebih penting, Ryukyu mempunyai misi untuk layak ke liga lebih tinggi dan jika pemain kita beraksi baik di Jepun, ia membuka mata pencari bakat kelab lain di sana.” Sumber Metro


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *