Harimau Malaya dilanda krisis

924330_33_preview

PETALING JAYA – Ranjau berduri menanti pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal dalam perlawanan pembukaan kelayakan Piala Asia 2015 menentang Qatar, 6 Februari ini apabila berdepan situasi cukup menggerunkan iaitu kehilangan tujuh pemain akibat kecederaan, malah berisiko hilang lebih ramai lagi.

Watak-watak penting yang sentiasa berada dalam percaturan Rajagobal seperti Safee Sali, S. Kunanlan, Bunyamin Omar dan K. Gurusamy nampaknya sudah boleh melupakan penerbangan ke Doha, Qatar ekoran tidak sempat pulih sebelum perlawanan.

Kekusutan yang melanda pemikiran jurulatih negara itu semakin bertambah dengan kecederaan pemain-pemain lain yang tidak kurang pentingnya buat Harimau Malaya, Wan Zack Haikal Wan Noor dan Gary Steven Robbat, manakala Fitri Omar yang baru menerima panggilan juga mengalami kecederaan.

”Tidak sangka kita akan berdepan situasi sebegini apabila didapati tujuh pemain mengalami kecederaan dan saya tidak boleh berbuat apa-apa dalam soal ini, kita terpaksa bergantung kepada pemain sedia ada kerana semua nama pemain telah didaftarkan.

”Antara pemain yang saya terpaksa lupakan ialah Wan Zack, Gurusamy, Bunyamin, Kunanlan dan Gary sementara Fitri baru mendapat kecederaan ketika ATM (Angkatan Tentera Malaysia) menentang Selangor dalam aksi Piala FA malam semalam.

”Sementara itu, Safee melaporkan diri dengan tahap kecederaan yang serius dan memang tidak boleh bersama kita, ” katanya ketika ditemui di Wisma FAM, semalam.

Dalam masa sama, empat pemain lain lagi, Norshahrul Idlan Talaha, Amar Rohidan, Farizal Marlias dan Zubir Azmi juga belum pasti dapat bermain walaupun ada antara mereka dapat menjalani sesi latihan pertama di Wisma FAM, semalam.

”Norshahrul ada mengadu mengalami sedikit ketegangan di bahagian belakang manakala pemain lain kita akan pantau tahap perkembangannya terlebih dahulu, ” katanya yang turut mendedahkan memanggil saat akhir penyerang Felda United, Shahrizal Saad bagi menyertai kem latihan pada hari ini.

Krisis kecederaan yang melanda skuad Harimau Malaya membuatkan beberapa pemain lain seperti Mohd. Amri Yahyah, Abdul Shukor Jusoh dan Mohd. Affize Faisal Mamat mendapat panggilan di saat-saat terakhir.

Berdasarkan situasi berkenaan, keyakinan Rajagobal bagi berdepan Qatar pada 6 Februari depan dilihat sedikit tergugat sambil menyatakan lawan dari negara teluk itu adalah sebuah pasukan yang sukar untuk dijinakkan.

Jelasnya, Qatar dilihat berada dalam momentum terbaik apabila baru sahaja melalui cabaran Piala Teluk 2013 di Bahrain dan beberapa perlawanan persahabatan di peringkat antarabangsa.

”Qatar adalah antara pasukan terbaik di Asia dan daripada apa pemantauan saya di Bahrain (Piala Teluk 2013) pada waktu ini, pasukan mereka cukup bersedia bagi menghadapi kelayakan Piala Asia 2015.

”Tahap kekuatan mereka memang berbeza dengan kita, tambahan mereka mempunyai tujuh pemain naturalisasi seperti dari Senegal dan Uruguay dan situasi kita bukan senang untuk berdepan dengan mereka, ” katanya.

Anak-anak buah Rajagobal akan menjalani latihan pusat sehingga hari esok sebelum berangkat ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), Selasa ini bagi menghadapi perlawanan persahabatan dengan Iraq, 1 Februari sebagai ujian pemanas badan menentang Qatar, lima hari kemudian. Sumber Utusan


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *