Harimau Malaya pulang hampa

imageResize.ashx

Skuad Harimau Malaya terpaksa pulang hampa apabila tumpas kepada Qatar 2-0 dalam saingan kumpulan D, Kelayakan Piala Asia 2015.

Pada babak pertama perlawanan, skuad negara berjaya mengekang penguasaan tuan rumah dengan jarang-jarang melakukan serangan yang dilihat kurang tajam.

Bagaimanapun, hasrat Harimau Malaya untuk membawa pulang satu mata musnah selepas Qatar meraih jaringan menerusi Khalfan Ibrahim Alkhalfan beberapa minit separuh masa kedua bermula.

Khalfan menjaringkan gol hasil sepakan percumanya, selepas bola tertampan benteng negara untuk menewaskan Khairul Fahni Che Mat.

Biarpun ketinggalan, skuad bimbingan Datuk K. Rajagobal harus dipuji kerana menunjukkan semangat kental untuk mencari gol penyamaan, sehingga mencipta beberapa peluang dalam kubu lawan.

Dalam keghairahan untuk menyerang di minit-minit akhir, skuad negara dikejutkan dengan percubaan deras sekali lagi menerusi Khalfan, mujur percubaan tersebut terkena tiang.

Serangan skuad Qatar nyata lebih berbisa, apabila mereka mudah memecahkan kubu Malaysia menerusi serangan kilat, sebelum ia disempurnakan oleh Yusef Ahmed di minit ke-90.

Pada ketika itu, K. Reuben dilihat tergopoh gapah merebahkan badan, sehingga menyebabkan bola terlepas kepada pemain lawan sebelum sampai ke kaki Yusef. Perlawanan berkesudahan Qatar 2 Malaysia 0.

 


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *