Harimau Malaya tidak gentar hadapi Qatar

imageSEPANG – Penyerang kebangsaan, Norfarhan Muhammad berkata, skuad Harimau Malaya tidak gentar menghadapi lawan pertama pada kempen kelayakan Piala Asia 2015 menentang Qatar di Doha, pada 6 Februari ini.

“Sungguhpun pasukan dihambat dengan isu kecederaan besar-besaran, namun itu tidak menjadi masalah untuk membentuk kombinasi mantap menjelang perlawanan itu nanti,” kata Norfarhan yang merupakan tonggak baharu yang bakal ditampilkan ketua jurulatih, Datuk K. Rajagobal pada saingan tersebut.

Pemain tengah Kelantan itu yang kali terakhir menyarung jersi kebangsaan pada Piala AFF Suzuki 2008, mengakui barisan pemain baharu termasuk dirinya tidak menghadapi kesukaran untuk mencipta keserasian pada aksi perlawanan itu kelak.

“Walaupun belum cergas sepenuhnya, saya akan membalas kepercayaan jurulatih jika terpilih untuk beraksi (menentang Qatar),” katanya kepada Bernama sebelum berlepas ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Skuad Harimau Malaya akan mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Iraq di Dubai pada Khamis ini, sebelum berlepas ke Doha untuk aksi kelayakan Piala Asia 2015 menentang Qatar.

Dalam pada itu, pemain pertahanan, Mahali Jasuli turut senada dengan Norfarhan dan menurutnya, persiapan pasukan negara tidak terjejas sekalipun ramai pemain baharu mengisi senarai skuad kebangsaan bagi menggantikan pemain yang cedera.

Berikutan kepincangan dalam skuad negara akibat masalah kecederaan pemain utama, Rajagobal hanya menyenarai 24 pemain daripada perancangan asal 26 pemain.

Antara tonggak yang disisihkan ialah penyerang, Norshahrul Idlan Talaha dan Safee Sali selain pemain tengah, S. Kunalan, Wan Zack Haikal Wan Nor, Gary Steven Robbat dan K. Gurusamy. – Bernama


1 Response

  1. titan says:

    kalah dah plakkk..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *