Insiden Penyokong JDT kejar polis bantuan setelah merampas kain rentang- Ini komen Azzudin

69687_410012742411282_1285125049_n

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengingatkan penyokong-penyokong bola sepak tempatan supaya tidak bertindak mengikut perasaan ketika memberikan sokongan kepada pasukan kesayangan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad () memberitahu, perasaan yang terlalu ‘fanatik’ dilihat mampu membunuh semangat kesukanan dalam dunia bola sepak tempatan.

Azzuddin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai insiden penyokong-penyokong fanatik Johor Darul Takzim (Johor DT) yang mengejar seorang anggota polis bantuan selepas merampas kain rentang yang dipasang ketika aksi skuad kendalian Fandi Ahmad menentang Felda United di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya petang kelmarin.

Ia berpunca daripada tindakan polis bantuan tersebut menurunkan kain rentang yang tertera ‘Kami Mahu Pengadil Bijaksana’ yang mana ia dikatakan menjadi punca kemarahan penyokong-penyokong setia Harimau Selatan sebelum bertindak sedemikian.

Tindakan itu dilihat sebagai tanda protes kepada FAM selain tanda sokongan kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim yang sebelum ini mempertikaikan mutu pengadilan Liga M yang semakin lemah.

Mengulas lanjut, Azzuddin mengakui kesal dengan perbuatan penyokong-penyokong Johor DT yang bertindak sedemikian dengan memasang kain rentang yang berbentuk hasutan.

Jelasnya, FAM menerima laporan penuh daripada pegawai-pegawai pertandingan yang bertugas pada perlawanan tersebut.

“PBNJ tidak akan terlepas daripada tindakan tatatertib sekiranya didapati bersalah.

“Saya berharap mereka (penyokong-penyokong) jangan terlalu taksub dan ghairah atau ekstrem ketika memberikan sokongan kepada pasukan kesayangan masing-masing.

“Tidak salah untuk memberikan sokongan padu kepada pasukan kesayangan anda tetapi sikap negatif ini akan membunuh semangat kesukanan selain memberikan imej buruk dalam liga tempatan.

“Kini, perkara ini akan dirujuk kepada Ahli Jawatankuasa Tatatertib FAM untuk tindakan lanjut,” katanya. Sumber Kosmo


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *