Irfan Fazail, Rozaimi diintai pencari bakat Liga-A

rozaimi

Dua pemain Harimau Muda, Irfan Fazail dan Rozaimi Abdul Rahman akan dinilai oleh pencari bakat pemain bola sepak Liga Australia hari ini.

Harimau muda akan beraksi dalam perlawanan terakhir di Australia petang ini bertemu juara bertahan liga utama Australia (Liga-A), Brisbane Roar dan perlawanan itu turut akan disaksikan bekas pemain kebangsaan Australia, Brad Maloney.

Maloney, 41, yang kini juga pencari bakat untuk kelab-kelab Liga-A kini dalam usaha mencari pemain-pemain baru untuk diberi peluang beraksi dalam Liga Australia.

 

Kapten Harimau Muda A, Irfan Fazail serta penyerang dari Sabah, Rozaimi Abd Rahman adalah antara pemain yang dalam perhatiannya.

 

Bekas penyerang import Sabah, Scott Ollerenshaw yang juga merupakan pihak yang bertanggungjawab menguruskan jelajah Australia telah mencadangkan kedua-dua pemain itu kepada Maloney.

 

“Saya hadir sesi latihan ini (semalam) untuk melihat persiapan skuad Harimau Muda A untuk bertemu Brisbane Roar. Ternyata Irfan dan Rozaimi menarik perhatian saya. Saya fikir mereka mampu lebih menyerlah jika diberi peluang beraksi di Liga-A.

 

“Apapun saya mahu lihat aksi mereka pada perlawanan sebenar, esok (hari ini) dan pesan saya, main seperti biasa saja. Lakukan seperti mana mereka buat dalam latihan dan segala-galanya akan berjalan lancar,” kata Maloney ketika ditemui di Padang Latihan Carrara, Gold Coast, petang semalam.

 

Skuad Harimau Muda A menang dua aksi persahabatan awal di Australia dengan menewaskan Palm Beach Sharks 5-1 dan Brisbane Lions 2-1 sebelum tewas 2-1 kepada Brisbane Olympic, Sabtu lalu. Sumber Fox Sport

 


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *