‘Jangan harap van Persie’

robin-van-persie_0LONDON – Pengurus Manchester United, Alex Ferguson memberi peringatan kepada barisan pemainnya supaya tidak bergantung sepenuhnya kepada Robin van Persie.

Ferguson melontarkan amaran itu selepas menyaksikan van Persie kini menjadi ‘mesin pencetak gol’ utama United dengan meledak 21 gol termasuk 10 gol dalam 10 perlawanan terakhir yang diharungi The Red Devils dalam semua pertandingan.

“Saya tidak mahu menjadikan United sebuah pasukan yang hanya ada seorang pemain yang memainkan peranan besar.

“Dalam sejarah pasukan, ada seorang sahaja pemain yang amat diperlukan dalam pasukan.

“Pemain itu ialah Eric Cantona. Dia (Cantona) mengingatkan kembali kepada kita bagaimana dia menjadi sumber inspirasi dalam menjaringkan gol tetapi situasi kini berbeza,” kata Ferguson.

Menurut Ferguson, United tetap memiliki dua penggempur prolifik, Javier Hernandez yang telah menjaringkan 12 gol dan Wayne Rooney (sembilan).

“Dua pemain pertahanan, Jonny Evans dan Patrice Evra juga telah menghasilkan lapan gol dan itu jelas membuktikan bahawa kami tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada van Persie semata-mata untuk menjaringkan gol,” tambah Fergu- son.

Awal bulan ini, pengurus Manchester City, Roberto Mancini mengeluarkan kenyataan bahawa kegagalan The Citizens mendapatkan khidmat van Persie merupakan satu kerugian besar buat mereka dalam memburu trofi kejuaraan musim ini.

Ferguson turut mengakui kenyataan Mancini tersebut bahawa pembelian bekas kapten Arsenal itu yang bernilai £22 juta (RM105 juta) sangat berbaloi kerana harganya bakal berubah menjelang Mei depan.

“Dia (van Persie) merupakan pemain yang hebat. Dia berada di kelab yang betul dan pada masa yang tepat.

“Dia mempunyai mentaliti untuk menang dan itu menjadi kekuatan utama yang dibawanya bersama pasukan,” kata Ferguson. – Agensi


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *