Jin Qarin Pendamping Manusia

jin qarin pedamping manusia

Jin Qarin Pendamping Manusia – Qarin adalah jin yang dicipta oleh Allah sebagai pendamping manusia. Boleh dikatakan ia sebagai ‘kembar’ manusia. Setiap manusia yang dilahirkan ke dunia ini pasti ada Qarinnya sendiri. Rasulullah s.a.w sendiri tidak terkecuali. Cuma bezanya, Qarin Rasulullah adalah Muslim. Manakala yang lainnya adalah kafir.

Pada umumnya Qarin yang kafir ini kerjanya mendorong dampingannya membuat kejahatan. Dia membisikkan was-was, melalaikan solat, berat nak baca Al-Quran dan sebagainya. Malah ia bekerja sekuat tenaga untuk menghalang dampingannya membuat ibadah dan kebaikan.

Firman Allah:

“Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu (Qarin) temannya yang tidak renggang daripadanya.” (Az-Zukhruf 43:36)

Untuk mengimbangi usaha Qarin ini Allah utuskan malaikat. Ia akan membisikkan hal-hal kebenaran dan mengajak membuat kebaikan. Maka terpulanglah kepada setiap manusia membuat pilihan mengikut pengaruh mana yang lebih kuat. Walau bagaimanapun orang-orang Islam mampu menguasai dan menjadikan pengaruh Qarinnya lemah tidak berdaya. Caranya dengan membaca “Bismillah” sebelum melakukan sebarang pekerjaan, banyak berzikir, membaca Al-Quran dan taat melaksanakan perintah Allah.

Rasulullah s.a.w bersabda:

“Tiada seorang pun daripada kamu melainkan sudah diwakili bersamanya Qarin daripada jin dan malaikat. Mereka bertanya: “Engkau juga ya Rasulullah?” Sabdanya: “Ya aku juga ada, tetapi Allah telah membantu aku sehingga Qarin itu dapat ku islamkan dan hanya menyuruh aku dalam hal kebajikan sahaja.” (Hadith Riwayat Muslim dan Ahmad)

Aisyah r.a menceritakan bahawa pada suatu malam Rasulullah s.a.w keluar dari rumahnya (Aisyah), lalu Aisyah berkata:

“Aku merasa cemburu.” Tiba-tiba Baginda s.a.w berpatah balik dan bertanya: “Wahai Aisyah apa sudah jadi, apakah engkau cemburu?” Aku berkata: “Bagaimana aku tidak cemburu orang yang seumpama engkau ya Rasulullah.” Sabda Baginda s.a.w: “Apakah engkau telah dikuasai oleh syaitan?” Aku bertanya: “Apakah aku ada syaitan?” Sabda Baginda s.a.w: “Setiap insan ada syaitan, iaitu Qarin.” Aku bertanya lagi: “Adakah engkau pun ada syaitan ya Rasulullah?” Jawab Baginda: “Ya, tetapi Allah membantuku sehingga Qarinku telah masuk Islam.” (Hadith Riwayat Muslim)

Di dalam hadith lain Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Aku dilebihkan daripada Nabi Adam a.s dengan dua perkara, iaitu pertama syaitanku kafir lalu Allah menolong aku sehingga dia Islam. Kedua, para isteriku membantu akan daku tetapi syaitan Nabi Adam tetap kafir dan isterinya membantu ia membuat kesalahan.”(Hadith Riwayat Baihaqi)

Ibn Muflih al-Muqaddasi menceritakan: Suatu ketika syaitan yang mendampingi orang beriman, bertemankan syaitan yang mendampingi orang kafir. Syaitan yang mengikuti orang beriman itu kurus, sedangkan yang mengikuti orang kafir itu gemuk. Maka ditanya mengapa engkau kurus, “Bagaimana aku tidak kurus, apabila tuanku masuk ke rumah dia berzikir, makan dia ingat Allah, apabila minum pun begitu.” Sebaliknya syaitan yang mengikuti orang kafir itu pula berkata: “Aku sentiasa makan bersama dengannya dan begitu juga minum.”

Qarin akan berpisah dengan ‘kembarnya’ hanya apabila manusia itu (kembarnya) meninggal dunia. Roh manusia akan ditempatkan di alam barzakh, sedangkan Qarin terus hidup kerana lazimnya umur jin adalah panjang. Walau bagaimanapun, apabila tiba hari akhirat nanti maka kedua-duanya akan dihadapkan ke hadapan Allah untuk diadili. Tetapi Qarin akan berlepas tangan dan tidak bertanggungjawab atas kesesatan atau kederhakaan yang dilakukan manusia itu.

Pengalaman Bertemu Jin Qarin

Berikut merupakan emel pertanyaan seorang teman pendengar kepada seorang Ustaz tentang makhluk yang dikenali sebagai “Jin Qarin”. Emelnya berbunyi begini:

Adakah Qarin ini memang wujud? Dan adakah informasi ini boleh diambil sebagai sesuatu pengetahaun, dalam pendapat Ustaz? Kerana saya sering sekali dengar akan hal seperti ini dan juga pernah mengalaminya sendiri suatu masa dahulu bila menjalani latihan tentera di Pulau Tekong…

Terima Kasih…

Ustaz menjawab:

Benar, Qarin itu sebenarnya berpengaruh dengan amalan seseorang itu, jika baik amalannya baiklah dia dan begitu juga sebaliknya. Nabi kita pun ada Qarin namanya Habibul Huda kata orang Kasf ia masih hidup lagi di kota Madinah.

Semua Qarin lambat mati. Sebelum manusia mati kadangkala, Qarin sudah kelirukan orang. Banyak berlaku, seseorang itu bila balik rumah terutama jika isteri sedang tidur atau ahli keluarga sedang tidur atau khayal, mereka perasan si ayah ni sudah balik dan berehat tetapi selepas setengah jam kemudian mereka terkejut sebab ayah yang sebenarnya baru sahaja ketuk pintu… Ini kerja Qarin.

Tahukah anda setiap manusia dilahirkan dengan kembar masing-masing? Setiap kali lepas ibu kita bersalin, si ayah akan membasuh uri atau orang tua-tua kata itu kembar kita… Sebenarnya kembar yang dimaksudkan itu dipanggil sebagai Qarin. Di sebelah kanan kita ialah Malaikat yang akan menyuruh kita membuat perkara-perkara baik manakala Qarin kita akan berada di sebelah kiri dan mengajak kita membuat perkara-perkara yang jahat.

Seorang ustaz pernah bercerita beliau sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bangi pada malam hari. Dalam perjalanan, dia bertembung dengan seorang perempuan, berpayung di dalam hujan gerimis. Ustaz ini menghentikan kereta beliau dan menumpangkan perempuan itubalik ke rumah. Sepanjang perjalanan perempuan itu menyatakan bahawa dia seorang pelajar UKM tahun 2. Ustaz ni pun belum berkahwin, berasa seronok dapat berkenalan dengan pelajar perempuan tu. Tambahan pula Ustaz ni pun mengajar di UKM. Sampai di rumah perempuan tersebut berpesan supaya tidak lagi datang ke rumahnya kerana ibunya tidak suka lelaki datang.

Balik dari menghantar perempuan tersebut, ustaz ini pun berceritalah pada rakan serumahnya. Dia berkenalan dengan perempuan cantik ni tapi tak berpeluang hendak berjumpa lagi. Hendak dijadikan cerita, esoknya ustaz tersebut mendapati perempuan semalam tertinggal payungnya. Adalah peluang dia pergi ke rumah perempuan tadi. Sampai di rumah perempuan tu ibunya saja yang ada di rumah. Ustaz tu pun bertanya tentang perempuan tadi dan ceritalah tentang payungnya yang tertinggal itu. Ibu perempuan itu terkejut dan menerangkan bahawaperempuan itu memang tinggal di situ, pelajar UKM tahun 2, tapi telah meninggal dunia dua tahun yang lalu.

Jika peristiwa itu pernah anda lalui atau akan lalui, jangan terkejut kerana apa yang anda jumpa ialah Qarin seseorang yang telah meninggal dunia. Qarin ini akan mengulangi detik-detik kematian seseorang serupa seperti yang berlaku setiap malam.Qarin akan memakai pakaian yang serupa contohnya: Jika seseorang mati dilanggar kereta ketika sedang menahan teksi, Qarin juga akan dilihat sedang menahan kereta seperti keadaan sebelum seseorang itu mati. Untuk itu jangan takut kerana setiap makhluk di muka bumi ini tak kira jin atau syaitan atau Qarin, semuanya adalah makhluk Allah belaka.

Sebelum memulakan sesuatu pekerjaan jangan lupa membaca: A’uzubillahiminasyaitonirrajim… InsyaAllah… Selamat dan sejahtera. Kepada kita yang masih hidup, buatlah kebaikan supaya kita dapat mendidik Qarin kita untuk turut membuat kebaikan dan akhirnya tidak berupaya menyuruh kita membuat kejahatan…

Wallahu’alam…

Sumber : syahirul.com dan seram-giler.blogspot.com