Jurulatih N. Sembilan kecewa

negeri-sembila-faJurulatih import Negeri Sembilan, Divaldo Alves melahirkan rasa kecewa dengan prestasi pasukannya apabila anak didiknya terus buntu mencipta kemenangan.

Setelah mengharungi empat perlawanan setakat ini, skuad Rusa seri satu perlawanan dan tewas dalam tiga lagi perlawanan dan berada di tempat tercorot Liga Super dengan hanya mengumpul satu mata.

Terbaru, Negeri Sembilan tewas 0-1 dengan Perak pada perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini, malam tadi.

“Saya merasa amat kecewa dengan kekalahan itu dan pemain perlu bangkit bagi mengelak kedudukan Negeri Sembilan terus menjunam. Misalnya, kita sebagai tuan rumah sepatutnya mampu memenangi perlawanan malam tadi, namun pemain kita gagal memanfaatkan setiap peluang yang ada.

“Memang sangat kecewa, peluang yang ada tidak digunakan untuk menjaringkan gol. Malah setiap percubaan yang dilakukan tersasar. Kami mempunyai banyak peluang untuk mencipta jaringan kerana banyak melakukan asakan, namun tiada gol berjaya dihasilkan. Tapi itulah sebahagian daripada bola sepak, kita harus menerimanya,” kata bekas jurulatih Kelab Persebaya dari Surabaya itu, yang fasih berbahasa Indonesia kepada pemberita.

Alves yang berasal dari Portugal berkata secara keseluruhannya Negeri Sembilan bermain dengan baik, tetapi pasukan lawan memanfaatkan peluang menyumbat gol tunggal perlawanan menerusi Failee Ghazali pada masa kecederaan.
Katanya beliau bertanggungjawab dengan prestasi pasukannya dan bersedia menerima apa sahaja keputusan pengurusan Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) untuk menaikkan semula prestasi Negeri Sembilan.

“Walaupun perlawanan ini masih di peringkat awal musim, tapi kita tidak mampu lagi menerima kekalahan dan perlu bangkit selepas ini. Oleh itu, saya menuntut komitmen penuh setiap pemain untuk perlawanan berikutnya agar dapat mengumpul mata bagi membaiki kedudukan dalam senarai liga.

Mengenai perlawanan dengan Kelantan di Kota Baharu Selasa ini, Alves berkata beliau akan mengatur strategi untuk meraih kemenangan.

“Saya sentiasa terapkan kepada pemain bahawa setiap perlawanan itu penting dan mereka harus serius untuk mengutip mata berharga.

Negeri Sembilan mendapat khidmat Alves selepas Mohd Azraai Khor Abdullah tidak menyambung kontraknya dan menyertai pasukan Perak.

Pada musim ini, Negeri Sembilan turut diperkuat dua pemain import baharu iaitu Emanuel De Porras dari Argentina dan William Paul Modibo dari Cameroon.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *