KAFA nafi dakwaan PBNJ

921057_33_previewKelantan menyangkal dakwaan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) bahawa kawalan keselamatan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV longgar.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata beberapa siri rundingan antara Kafa dengan PBNJ serta pihak keselamatan seperti polis dan Pasukan Ikatan Relawan Malaysia (Rela) telah dibuat sehingga saat akhir sebelum sepak mula.

“Pada keseluruhannya, saya ucap terima kasih kepada Polis Kelantan dan juga Rela. Saya fikir dari segi keselamatan, mereka telah buat yang terbaik dan tidak ada peristiwa yang di luar kawalan keselamatan. Kalau mengenai provokasi (di antara penyokong) baling botol, kita tak boleh nak debatkan.

“Setakat yang kita mampu, Kafa telah pun mengambil tindakan dan kita tidak mengambil tindakan bersendirian. Kita ambil dengan berbincang sampai ke saat-saat akhir, jadi sekarang sejauh mana Johor memberi kerjasama kepada Kelantan untuk jaga keselamatan,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri mesyuarat tertutup Badan Perhubungan Umno Kelantan di sini hari ini.

Beliau berkata, tindakan penyokong Kelantan, yang menimbulkan provokasi kepada penyokong Johor, adalah di luar kawalan Kafa.

Setiausaha Kehormat PBNJ Suhairi Hashim, menerusi akuan bersumpah yang dihantar kepada media semalam, mendakwa Kafa gagal menepati janji untuk menjamin keselamatan penyokong Johor Darul Takzim di Stadium Sultan Muhammad ke-IV apabila mereka dibaling dengan objek seperti botol air, kaca dan kayu sehingga ada yang mengalami kecederaan.

Turut berbuat demikian ialah Bendahari PBNJ Datuk Abdul Latiff Bandi. Pada pertemuan Kelantan menentang Johor Darul Takzim di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam Selasa lepas, penyokong Kelantan didakwa membaling mercun dan objek ke arah padang sehingga menyebabkan perlawanan terhenti beberapa minit.

Selain itu, tindakan PBNJ yang membawa beberapa anggota Grup Gerak Khas berkawal dengan lengkap bersenjata M-16 ketika aksi perlawanan yang berkesudahan seri 1-1, menimbulkan kemarahan penyokong tuan rumah sehingga menyebabkan berlaku kekecohan selepas perlawanan.

Bagaimanapun, Presiden PBNJ Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjelaskan kehadiran anggota komando yang berpangkalan di Kem Iskandar, Mersing itu bukan untuk mengawal atau menjaga pasukan Johor Darul Takzim, sebaliknya prosedur operasi standard kerana Sultan Johor dijangka berangkat menyaksikan perlawanan tersebut. – Bernama


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *