Kelantan sokong teguran Ahmad Shabery

trw

PENYOKONG Kelantan menyokong teguran Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berhubungan isu membawa askar ke stadium ketika perlawanan bola sepak antara Kelantan dengan Johor Darul Takzim di Stadium Sultan Muhammad IV pada 15 Januari lalu.

Timbalan Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim (kelate.net), Mohd. Khairi Yazid berkata, teguran Ahmad Shabery itu perlu dipandang serius Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi memastikan perkara tersebut tidak berulang pada masa hadapan.

“Tindakan tersebut jelas bercanggah dengan perwatakan masyarakat di negara ini. Secara tidak langsung ia boleh menimbulkan persoalan negatif dan rasa kurang senang dalam kalangan penyokong.

“Situasi pasukan tentera berada di dalam stadium pernah berlaku dalam saingan Piala Negara-Negara Afrika sebelum ini. Ia berlaku disebabkan oleh masalah pemberontakan yang boleh mengancam nyawa pemain.

“Ia berbeza dengan suasana di negara ini. Jika masalah ini terus berlanjutan, ia dikhuatiri mencemarkan imej negara di mata dunia. Jadi FAM tidak boleh memandang mudah perkara ini,” tegasnya semalam.

Akhbar semalam melaporkan bahawa tindakan membawa askar ke stadium bukan budaya sukan Malaysia dan perkara seperti itu tidak sewajarnya berlaku.

Ahmad Shabery menegur insiden pada 15 Januari lalu, apabila sekumpulan askar lengkap berpakaian seragam dan bersenjata mengawal perlawanan bola sepak Liga Super antara Kelantan dengan Johor Darul Takzim di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

Kehadiran askar yang mengiringi skuad Johor Darul Takzim itu menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan pemimpin dan penyokong Kelantan kerana ia menimbulkan polemik seolah-olah Stadium Sultan Muhammad IV tidak selamat.

Kosmo! pada 20 Januari lalu turut melaporkan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa menasihatkan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim supaya tidak membawa perkara-perkara ‘pelik’ dalam Liga Malaysia kerana sistem yang ada sepatutnya sudah cukup baik sekiranya dipatuhi.

Annuar mengulas mengenai perkembangan mutakhir bola sepak negara terutama berhubung isu perpindahan Norshahrul Idlan Talaha dan yang terbaru, apabila pasukan Johor Darul Takzim membawa Anggota Rejimen Ke-21 Gerak Khas Komando (GGK) di Stadium Sultan Muhammad IV.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *