Ketua Jurulatih Harimau Malaya Datuk K Rajagopal Akan Didakwa?

rajagopal

Assalamualaikum dan selamat sejahtera, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dijangka mengeluarkan surat pertuduhan ke atas ketua jurulatih skuad kebangsaan, Datuk K.Rajagopal yang didakwa melanggar Artikel 88 Statut FAM, minggu depan.

Berdasarkan Artikel 88, hanya Presiden dan Setiausaha Agung dibenarkan membuat kenyataan media mengenai FAM.

Pengerusi Jawatankuasa Tata Tertib FAM, Datuk Taufik Abdul Razak berkata pihaknya mempunyai bukti kukuh untuk mengeluarkan surat pertuduhan kepada jurulatih berusia 56 tahun itu kerana didakwa mengkritik polisi badan induk bola sepak negara itu.

“Kita mempunyai merit untuk menghantar surat pertuduhan kepada beliau ( Rajagopal) kerana melanggar Artikel 88 selain turut meneliti laporan beberapa akhbar tempatan mengenai kenyataan beliau,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu hampir empat jam di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.

Taufik berkata prosedur sama akan turut digunakan dalam kes Rajagopal bagi memastikan keadilan kepada semua pihak.

“Surat pertuduhan akan dihantar kepada Rajagopal dan beliau perlu menjawabnya dalam tempoh yang akan ditetapkan Jawatankuasa Tata Tertib.

“Beliau perlu menjawab surat berkenaan bersama Borang A (pengakuan bersalah) dan Borang B (pengakuan tidak bersalah),” katanya.

Rajagopal sebelum ini dilaporkan berkata kekalahan 1-4 skuad Harimau Malaya di tangan Arab Saudi pada perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam, 17 Mac lepas disebabkan kekurangan sifat-sifat penyerang semula jadi dalam pasukan kendaliannya.

Beliau dikatakan turut mengaitkan kekalahan skuad bimbingannya itu dengan lambakan pemain import dalam kancah saingan Liga Malaysia musim ini. – Bernama


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *