Ketua Polis Negara Minta ISA DIKEKALKAN

KHALID_ABU_BAKAR_140913_TMINAJJUA_06_540_364_100

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu
Bakar menyokong penuh cadangan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad
agar kerajaan mewujudkan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi
memastikan keselamatan dan ketenteraman awam negara dapat dikekalkan.

Beliau berkata bagaimanapun Polis Diraja Malaysia (PDRM) hanya pihak
penguatkuasa undang-undang dan terpulang kepada anggota parlimen untuk membuat
cadangan undang-undang itu di Parlimen.

“Saya harapkan demikian (cadangan ISA diwujudkan). Jika parlimen rasa ia
sesuai untuk diwujudkan semula, kenapa tidak. Saya menyokong penuh setiap
undang-undang yang boleh menjadikan negara lebih selamat,” katanya kepada
pemberita dalam wawancara khas di Bukit Aman di sini, hari ini.

Ditanya sama ada Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012
(Sosma) yang diperuntukkan kepada PDRM tidak memadai, Khalid berkata adalah
lebih baik jika ISA diwujudkan kerana fungsi ISA dan Sosma berbeza dan mengikut
keadaan-keadaan tertentu untuk diguna pakai.

Semalam Dr Mahathir mencadangkan pelaksanaan semula ISA bagi menangani
tindakan puak ekstremis minoriti yang menjejaskan kestabilan negara.

Pada perkembangan lain, Khalid berkata kejayaan Operasi Cantas (Ops Cantas)
khas yang dilancar pada 17 Ogos 2013 banyak menyumbang kepada penurunan indeks
jenayah sepanjang tahun lepas.

Beliau berkata pada keseluruhannya indeks jenayah bagi tahun 2013 menurun
sebanyak 4.3 peratus iaitu 147,073 kes dilaporkan berbanding 153,669 kes
dilaporkan sepanjang 2012.

Beliau berkata sepanjang 137 hari Ops cantas khas dijalankan oleh Jabatan
Siasatan Jenayah, Jabatan Siasatan Narkotik, Komersil dan Jabatan Pencegahan dan
Pembanterasan Jenayah, seramai 1.3 juta orang dan 807,000 kenderaan diperiksa
serta 44,343 orang ditahan.

“Saya amat berpuas hati dengan kejayaan PDRM pada tahun 2013, kami berjaya
menurunkan 10.93 peratus jenayah kekerasan dan 6.16 peratus jenayah harta benda
sepanjang ops cantas khas dilaksanakan,” katanya.

Khalid berkata pada tahun 2013 juga PDRM turut menggempur dan menahan
pesalah-pesalah narkotik termasuk menyita dan merampas harta pengedar dadah yang
ditahan.

Beliau berkata bagi tempoh 20 Nov hingga 30 Dis 2013 polis berjaya menahan
14,896 orang membabitkan 14,138 kes berkaitan Akta Dadah Berbahaya dengan jumlah
rampasan RM30.82 juta.
– BERNAMA


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *