Khairul Fahmi Buka Kedai Kopi ‘Players Cafe’

players cafe

Khairul Fahmi Che Mat atau Apek suka minum kopi dan daripada kegemarannya itu lahirlah Players Cafe yang baru sebulan dibuka di D‘Wangsa, Wangsa Maju.

Bagaimanapun pembukaan kafe itu bukanlah atas usahanya seorang, tetapi bersama empat rakan karibnya yang turut berkongsi kegemaran yang sama iaitu Fairul Irwan, Izham Tarmi (pemain bola sepak pasukan Harimau Muda), Irfan Fazail (pemain bola sepak pasukan Harimau Muda) dan Zamir Selamat.

Ketika ditemui pada majlis pembukaan kafe itu Ahad lalu, cerita Apek dia bersama empat rakannya itu adalah penggemar kopi tegar lalu mereka sepakat untuk membuka ‘kedai kopi’ sendiri di samping dapat merapatkan lagi persahabatan mereka yang sudah lama terjalin.

“Di kafe ini kami menye­diakan pelbagai jenis kopi yang diadun dengan rasa istimewa. Kami mahu pelanggan menikmati kopi yang sebenar di sini. Sebagai penggemar kopi tentunya kami amat mengutamakan kualiti dan cara penyediaannya.

“Kafe ini juga dibuka sebagai tempat pertemuan rakan-rakan seangkatan dan daripada pelbagai disiplin sukan serta untuk peminat yang menyokong kami selama ini. Mungkin sebelum ini peminat sukar nak berjumpa dan mendekati ahli sukan kegemaran mereka jadi dengan adanya kafe ini mereka dapat mengenali saya dan rakan-rakan lain dengan lebih rapat.

“Kafe ini dibuka tujuh hari seminggu, mulai jam 11 pagi hingga 12 tengah malam manakala pada hujung minggu pula dari jam 11 malam hingga lewat pagi. Sebulan lalu, pembukaan kafe ini dalam tempoh percubaan di mana kawan-kawan datang memberi komen juadah yang disediakan.

“Buat masa ini, kafe ini tidak menyediakan hidangan berat kerana ia lebih berkonsepkan santai. Pelanggan boleh memilih aneka kek dan makanan ringan lain sambil menikmatinya bersama kopi,“ katanya.

Bercerita lanjut mengenai pembukaan kafe itu, jelas Apek dia dan rakannya menyedari tidak selamanya mereka akan berada di padang bola dan dia sendiri memberikan tempoh masa 10 tahun lagi untuk beraksi. Pembukaan kafe itu sebagai langkah untuknya menceburi bidang perniagaan dan andai kata berjalan lancar, mereka akan terus meneroka peluang perniagaan lain pula.

“Kafe ini adalah persediaan untuk kami menimba ilmu sebagai usahawan. Walaupun perniagaan saya di Kuala Lumpur tetapi saya masih menetap di Kelantan dan keadaan itu tidak membimbangkan saya kerana rakan lain menetap di sini.
Sesekali kalau ada urusan saya akan turun ke Kuala Lumpur. Dunia perhubu­ngan juga menjadi sangat mudah sekarang, jadi tiada apa yang menghalang hasrat murni kami ini,” katanya.

Apek baru mendirikan rumah tangga setengah tahun lalu dengan Leuniey Natasha yang mengusahakan butik pengantin bersama ibunya di Kota Bharu, Kelantan. Leuniey yang lebih dulu berpengalaman dalam dunia perniagaan menyo­kong usaha suaminya itu.

Dia yang kini tampil dengan imej bertudung turut hadir pada hari pembukaan kafe itu dan amat memahami kesibukan Apek sebagai pemain bola sepak dan tentunya jadual kian padat dengan pembukaan kafe itu.

“Saya tiada halangan jika Apek terpaksa kerap turun ke Kuala Lumpur kerana ketika saya mula mengenalinya dulu pun, dia memang sibuk. Sebagai isteri saya akan selalu menyokong dan memberi dorongan kepadanya kerana apa yang dibuat demi masa depan kami berdua juga,” katanya. – Harian Metro


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *