Kisah Pak Pandir Dan Jongkong Emas 15KG

Pak Pandir tekad mahu juga mencari emas untuk dirinya. Setelah berbulan lamanya mencari harta karun di belakang rumahnya, akhirnya Pak Pandir berjaya menemukan jongkong emas seberat 15 kilogram yang tertanam di bawah jamban rumah jirannya. Dengan penuh perasaan gembira Pak Pandir membawa pulang emas tersebut.

Sampai di rumah, tiba-tiba Pak Pandir merasa bimbang kalau-kalau sahabat baiknya Luncai mengetahui tentang harta yang dijumpainya, pasti Si Luncai akan mengambil emas itu. Hasil buah fikiran itiknya, Pak Pandir mendapat idea untuk menanam emas itu di taman permainan kanak-kanak di pekan berhampiran tempat tinggalnya.

Pak Pandir menggali lubang yang besar untuk memasukkan harta karunnya itu. Setelah selesai menimbus harta karunnya, bimbang hartanya diketahui orang, dia pun meletakkan papan tanda bertulis “Di sini tiada harta karun Pak Pandir”. Lega hatinya, Pak Pandir pun pulang dengan perasaan gembira.

Malam itu sedang Si Luncai di dalam perjalanan untuk mencuri duit di masjid berhampiran, dia ternampak papan tanda Pak Pandir. Apa lagi, Si Luncai pun terus mengorek tanah dan mendapatkan emas 15 kg yang tersimpan di situ. Bimbang perbuatannya diketahui Pak Pandir, untuk ‘cover line’, luncai menimbus semula lubang tersebut dan meletakkan satu lagi papan tanda bertulis “BUKAN LUNCAI YANG AMBIK!“.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *