Komen Ong Kim Swee Setelah Skuadnya Dibelasah Vietnam

179430_heroa

Skuad B-23 negara kendalian Datuk Ong Kim Swee tewas 5-1 kepada Vietnam pada perlawanan kedua Kumpulan B saingan bola sepak Sukan SEA 2015 di Stadium Bishan, Singapura, malam tadi.

Vietnam mendahului 2-0 menerusi sepakan penalti Mac Hong Quan pada minit ke-14 dan serangan balas yang disudahkan Nguyen Cong Phuong pada tambahan masa separuh masa pertama.

Skuad kendalian Toshiya Miura itu menambah dua lagi gol pada awal babak kedua menerusi sepakan penalti Vo Huy Toan pada minit ke-47 dan jaringan kedua peribadi Cong Phuong, minit ke-53.

Pemain gantian, Syahrul Azwari Ibrahim merapatkan kedudukan 4-1 menerusi jaringan pada minit ke-76, namun Vietnam berjaya menambah gol kelima menerusi Nguyen Van Toan, minit ke-78.

Seterusnya, skuad Kim Swee akan berdepan Thailand untuk perlawanan ketiga Kumpulan B di Stadium Bishan, 4 petang esok.

KOMEN JURULATIH MALAYSIA B-23, DATUK ONG KIM SWEE

“Ini keputusan paling mengecewakan dan tidak pernah berlaku dalam mana-mana perlawanan sebelum ini.

“Kami tidak bermain baik dan melakukan dua kesilapan mudah yang menjadi punca kekalahan. Saya tak pasti dua sepakan penalti itu patut diberikan atau tidak.

“Yang pasti, Vietnam pasukan yang bagus dan menghukum kami menerusi kesilapan mudah.

“Sekarang kami tiada pilihan lain kecuali melakukan segalanya ketika bertemu Thailand walaupun pemain keletihan. Seri atau tewas, kami akan tersingkir.”

KOMEN JURULATIH VIETNAM B-23, TOSHIYA MIURA

“Kami bermula baik selepas mendapat gol awal. Selepas itu, Malaysia mula memberi tentangan dan kami bernasib baik dapat menambah gol kedua pada penghujung separuh masa pertama.

“Bagi saya, pemain Malaysia banyak melakukan kesilapan idnvidu. Bukan taktikal permainan menjadi punca kekalahan mereka dan memberikan kemenangan buat kami.”