Kongsi gelap berebut mahu jadi taikun

image

Lambang kumpulan kongsi gelap di Malaysia – Foto Ihsan PDRM

 

KUALA LUMPUR – Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Tan Sri Zaman Khan Rahim Khan mendedahkan kumpulan kongsi gelap di negara ini kini bersaing hebat sesama sendiri bagi menjadi taikun dadah di sesebuah kawasan.

Beliau berkata `perang’ di antara kongsi-kongsi gelap itu, yang kini mencetuskan kegusaran orang ramai ekoran penggunaan senjata api secara berleluasa, berlaku kerana mereka mahu menakluk sesebuah kawasan bagi tujuan pengedaran dadah selain menjadi pusat operasi mereka.

“Geng-geng ini berperang sekarang kerana mereka nak merebut kawasan, nak jadi ‘gabenor’ dadah…jadi mereka akan menghapuskan musuh-musuh mereka yang cuba memasuki kawasan mereka dengan senjata api,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Menurutnya kebanyakan kongsi gelap yang aktif di negara ini telah dibekalkan dengan senjata api oleh sindiket dadah antarabangsa, yang dipercayai turut membekalkan pistol dan bom tangan kepada kumpulan itu.

Ditanya mengapa polis sukar membanteras kongsi-kongsi gelap itu,  Zaman Khan berkata sejak dahulu lagi, kekangan yang dihadapi polis ialah keengganan saksi tampil memberikan maklumat kepada polis kerana bimbangkan keselamatan mereka.

Beliau berkata ada sesetengah kes, orang awam menjadi mangsa kekerasan senjata api oleh  kongsi gelap kerana mungkin dipercayai cuba menjadi ‘hantu polis’ (pemberi maklumat polis).

“Semasa saya jadi pengarah dahulu, perkara ini yang menjadi kekangan polis untuk memerangi  kongsi gelap kerana keengganan saksi untuk memberikan maklumat. Jadi, polis perlu memikirkan kaedah untuk mendapatkan maklumat dengan melindungi saksi-saksi ini,” katanya.

Beliau turut mendedahkan kegiatan kongsi gelap bukan sahaja tertumpu kepada pengedaran dadah, malah mereka  meminta wang perlindungan daripada setiap premis perniagaan yang dijalankan di `kawasan’ mereka.

Zaman Khan tidak menafikan bahawa selepas Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat dimansuhkan, bekas-bekas tahanan jenayah berat dipercayai  menubuhkan geng mereka dan bergerak aktif meneruskan kegiatan lama selain membalas dendam terhadap musuh-musuh mereka.

“Perkara ini perlu diperangi habis-habisan oleh pihak polis…ini untuk mengelakkan rasa takut dalam kalangan rakyat,” katanya.

Minggu  lepas, Kementerian Dalam Negeri  mengumumkan sebanyak 49 kongsi gelap dikesan menjalankan kegiatan memudaratkan ketenteraman awam seperti sindiket pengedaran dadah, memeras ugut, membunuh, menimbulkan pergaduhan antara pertubuhan kongsi gelap dan huru-hara.

Dalam Ops Cantas Khas yang bermula 17 Ogos lepas bagi membanteras kongsi gelap dan individu terbabit jenayah berat di seluruh negara, PDRM menangkap 4,777 orang dan merampas 136 kenderaan curi, lapan senjata api, satu bom tangan, 54 peluru dan 133 senjata berbahaya.

Zaman Khan secara sinis juga menempelak sesetengah pihak yang mengkritik tindakan polis menembak mati lima anggota kongsi gelap Geng ’04′ di Sungai Nibong, Pulau Pinang pada 19 Ogos lepas.

Sambil mempertahankan tindakan Polis Pulau Pinang itu, beliau berkata pihak berkuasa berbuat demikian setelah diancam dengan senjata api. – Bernama


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *