Lebih 20,000 Penduduk Syria Terperangkap

DAMSYIK – Satu konvoi bantuan pertubuhan Palang Merah Antarabangsa (ICRC) melakukan persediaan untuk memasuki kawasan penduduk Baba Amr di bandar Homs semalam, sehari selepas tentera Presiden Bashar Al-Assad menyerang bandar berkenaan sekali gus menamatkan kepungan selama empat minggu.

Lebih 20,000 orang awam dipercayai terperangkap di daerah berkenaan ekoran serangan berterusan tentera pemerintah.

Seorang jurucakap ICRC berkata, pihaknya dan pertubuhan Bulan Sabit Merah Syria bersedia memasuki Baba Amr dengan membawa tujuh buah trak sarat dengan bekalan bantuan kemanusiaan.

“Kami bersiap sedia untuk memasuki daerah Baba Amr,” kata jurucakap ICRC, Sebastien Carliez di Geneva.

Perkembangan tersebut berlaku selepas pihak pemberontak menyatakan mereka berundur dari Baba Amr kelmarin, hari kedua serangan darat yang dilancarkan Divisyen Perisai Keempat yang diketuai oleh adik Presiden Bashar, Maher.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Perancis, Nicholas Sarkozy membidas serangan ke atas Baba Amr yang disifatkannya sebagai tidak berperikemanusiaan.

“Lebih 8,000 orang terbunuh termasuk beratus-ratus kanak-kanak dengan bandar Homs berdepan risiko hilang dari peta dunia,” kata Sarkozy. – Agensi Kosmo


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *