‘Maaf, Kami Tidak Mengambil Pekerja Bertudung’

KUALA LUMPUR: Sebagai sebuah negara yang mempunyai latar belakang kepelbagaian kaum dan agama, ramai yang mungkin merasakan tidak sukar untuk mendapatkan pekerjaan kerana percaya syarikat atau majikan sudah tentu memahami tentang keunikan negara kita.

Malangnya tidak, jika anda seorang wanita Islam yang bertudung dan sedang mencari pekerjaan di kedai-kedai pakaian terkemuka di ibukota.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Ira, 24, yang baru-baru ini mencari pekerjaan sementara sebagai pembantu kedai di beberapa kedai pakaian berjenama di Suria KLCC, terkejut apabila permohonan kerjanya ditolak hanya kerana beliau bertudung.

rsz_mira_status
Ketika dihubungi Malaysian Digest, tidak lama selepas beliau ‘meluahkan perasaan’ di laman sosial F@ceb00k, Ira nyata kecewa dengan kejadian tersebut dan seperti tidak percaya ia berlaku di negara sendiri.

“Masa tu hari Isnin, saya bawa ibu sekali pergi cari kerja dan saya memang nak cari kerja ‘part-time’ saja. Jadi saya pun masuklah ke dalam kedai-kedai yang ada tampalkan iklan cari pekerja,”
“Memandangkan ada kekosongan, saya masuk dan bertanyakan kepada mereka. Namun, dengan pantasnya saya diberitahu kedai-kedai ini tidak mengambil orang yang memakai tudung,” katanya.

Ira, berasal dari Kuala Lumpur, menjelaskan antara kedai-kedai yang dimasukinya adalah Topshop, Esprit, Nike, serta beberapa gerai kecil yang lain, namum semuanya tidak membuahkan hasil dan menggunakan alasan yang sama.

“Apa yang telah berlaku itu memang mengejutkan dan saya fikir perkara ini perlu dipandang serius. Walaupun saya meletakkan status sebegitu di F@ceb00k, tak sangka pulak ia menjadi ‘viral’ sebegini,” katanya.

Dalam status tersebut yang bertarikh 2 September, beberapa jam selepas kejadian, Ira telah menulis tentang bagaimana beliau terkedu apabila permohonan kerja yang ditolak oleh kedai-kedai tersebut.

Dia turut membandingkan kehidupan beliau ketika di United Kingdom selama empat tahun diikuti pengalamannya mengembara sekitar Eropah namun tidak pernah merasa terhina kerana memakai tudung seperti yang berlaku di negara sendiri.

Status beliau setakat ini telah menerima 9,000 ‘shares’ dalam media sosial tersebut serta telah mendapat perhatian orang ramai yang turut melahirkan rasa kecewa.

Sementara itu, tinjauan mD di kedai-kedai yang disebutkan itu menunjukkan adanya kebenaran pada kenyataan Ira sebelum ini.

Secara keseluruhan, kedai-kedai tersebut menolak permohonan kerja wanita bertudung dengan alasan ia adalah polisi syarikat, namun ada juga yang memberi alasan tiada kekosongan walaupun terpampang iklan jawatan kosong.

Di kedai Nike, wartawan kami, yang memakai tudung, telah ditolak bulat-bulat dan pekerja yang bertugas mengatakan kedai tersebut tidak mengambil pekerja yang menutup kepala dan rambut mereka.

Jawapan yang sama turut diberi oleh Esprit dimana wartawan kami diberitahu bahawa ia adalah polisi syarikat. Penyelia bertugas menjelaskan mereka sudi menerima permohonan jika wartawan kami mahu membuka tudung ketika bertugas.

Beliau berkata sebelum ini memang terdapat kes-kes seperti itu di mana pekerja membuka tudung semasa bertugas dan memakainya semula apabila habis bekerja.

Di Topshop pula, jawapan yang diberikan agak berlapik, di mana wartawan kami diberitahu kedai tersebut tidak mengambil pekerja bertudung namun bersedia untuk menimbangkannya semula jika pemohon sudi menukar ‘cara pemakaian’.

Usaha untuk menghubungi DNP Clothing Sdn Bhd, Esprit De Corp (Malaysia), and Nike Sales Malaysia Sdn Bhd, yang menguruskan kedai-kedai tersebut masih belum membuahkan hasil setakat ini.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *