Nazmi Faiz belum sedia ambil SPM

su_04.1JOHOR BAHRU – Mohd. Nazmi Faiz Mansor, 19, masih belum bersedia menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) kerana terdapat banyak perkara yang perlu diselesaikannya buat masa sekarang.

Beliau yang baru mengikat kontrak selama tiga tahun bersama pasukan Liga Super, PKNS itu bagaimanapun tidak mahu menjelaskan secara terperinci mengenai masa sesuai untuk beliau menghadapi SPM.

“Setakat ini saya belum lagi bersedia untuk mendudukinya kerana banyak perkara yang perlu diambil kira.

“SPM bukannya boleh dipandang ringan, ia perlukan persediaan yang rapi,” ujarnya ringkas ketika ditemui sejurus mengharungi perlawanan persahabatan antara PKNS menentang Johor yang berkesudahan 0-2 di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang di sini, semalam.

Mengulas aksi pertamanya bersama kelab tersebut, Nazmi mengakui masih belum menemui rentaknya yang sebenar.

Katanya, banyak aspek yang perlu dipertingkatkan terutama keserasiannya bersama pemain lain.

“Saya perlukan sekurang-kurangnya tiga perlawanan lagi untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan pasukan ini.

“Beri saya sedikit masa, apabila sudah serasi, insya-Allah semua akan okay,” tambahnya.

Bagaimanapun, Nazmi masih tidak mahu mengulas lanjut mengenai kepulangannya daripada mewakili kelab Portugal, S.C Beira-Mar.

Sementara itu, dalam aksi perlawanan persahabatan tersebut, kemasukan Nazmi pada babak kedua perlawanan tersebut nyata tidak memberi sebarang impak terhadap permainan kedua-dua pasukan.

Johor yang terlebih dahulu memulakan asakan tampak gagal pada separuh masa pertama apabila gagal menyempurnakan dengan tepat peluang-peluang yang dihasilkan.

Bagaimanapun, kesilapan pemain pertahanan hampir menyebabkan gawang tuan rumah bolos pada minit ke-27 apabila pemain import pelawat, Patrick Welh Ronaldinho melakukan percubaan solo dengan tendangan padu terus ke pintu gol tetapi berjaya ditepis penjaga gol Harimau Selatan, Mohd. Fazli Paat.

Enggan kalah di laman sendiri, Johor hampir berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-30 hasil rembatan kencang dari luar kotak penalti oleh pemain import Johor, Juan Muriel Orlando, namun tersasar.

Gol pertama Johor hadir pada minit ke-49 hasil sepakan dari Juan Muriel Orlando, dan 10 minit kemudian, Orlando mengesahkan kemenangan tuan rumah apabila sekali lagi menjaringkan gol hasil hantaran lintang Mohd. Rashid Aya.

Sehingga tamat perlawanan, Nazmi yang diharapkan ternyata gagal mencipta sebarang jaringan dan ia menyaksikan Johor menang 2-0 ke atas PKNS.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *