Nazmi gembira sertai PKNS FC

Nazmi Faiz menegaskan dia tidak akan kembali ke kelab Portugal, SC Beira-Mar selepas mengikat kontrak selama tiga tahun dengan PKNS FC.

nazmi Kepulangan Nazmi Faiz ke Malaysia telah mengejutkan ramai pihak termasuk Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Bukan sahaja mereka, malahan jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee turut tidak dimaklumkan tentang hal ini.

Pasukan Liga Super Malaysia, PKNS FC semalam mengumumkan Nazmi sebagai pemain baru mereka yang telah mengikat kontrak selama tiga tahun.

Menurut ejen Nazmi, Marco Guimaraes, kontrak Nazmi dengan Beira-Mar yang ditandatangani selama tiga tahun pada tahun lepas telah ditamatkan atas persetujuan kedua-dua belah pihak.

Nazmi turut mengesahkan perkara itu dan menegaskan dia tidak akan kembali ke Beira-Mar.

“Saya tidak akan kembali ke sana. Saya masih muda dan saya masih mempunyai peluang. Kini saya harap saya akan dapat lagi peluang untuk beraksi di luar negara pada masa akan datang, ” kata Nazmi di sidang media PKNS.

Nazmi yang akan menyarungkan jersi No.33 di PKNS berkata ini adalah keputusan yang terbaik untuk diri dan kariernya.

“Saya yang membuat keputusan untuk kembali ke tanah air. Saya buat keputusan ini untuk diri saya dan Alhamdulillah ini adalah keputusan yang terbaik untuk saya,” jelasnya.

Pemain berusia 18 tahun itu turut memberitahu bahawa dia sudah lama meminati pasukan PKNS sejak dia bersama Harimau Muda.

“Saya telah menyaksikan PKNS beraksi dan mereka adalah satu pasukan yang baik dan kini saya gembira dapat beraksi untuk mereka,” tambah Nazmi.

Nazmi dikhabarkan akan terus mendapat tempat dalam pasukan tetapi terdapat beberapa perkara yang perlu diselesaikan dengan FAM terlebih dahulu.

Pengurus pasukan PKNS, Azmi Adnan tetap optimis untuk meurunkan Nazmi dalam kesebelasan utama bertemu Felda United pada 16 Feb.

“Kami akan lihat perkembangan dengan FAM. Terdapat beberapa soalan yang masih perlu dijawab dan saya akan menghantar pegawai saya untuk menyelesaikan isu ini dengan cara yang terbaik,” kata Azmi.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *