Nazmi tagih tempat dalam skuad B23 negara

sesi latihan pkns

PETALING JAYA – Segala kontroversi dan tohmahan yang dilemparkan kepada Muhammad Nazmi Faiz Mansor tidak akan menjadi tembok untuk memutuskan hubungannya bersama skuad bawah 23 tahun negara.

Malah, pemain PKNS FC itu bertekad untuk berusaha keras dan bertarung semula mendapatkan kepercayaan jurulatih, Ong Kim Swee seandai namanya tidak berada dalam perancangan skuad tersebut buat masa sekarang.

Menurut pemain berusia 19 tahun itu, dia tidak akan berdiam diri sahaja dan melihat namanya lenyap dalam skuad bawah 23 tahun kebangsaan, yang mana namanya mula menjadi buah mulut peminat ketika bersama pasukan tersebut.

“Saya akan bertarung untuk mendapat tempat saya semula, saya tidak akan biarkan nama saya lenyap begitu sahaja, saya juga tidak akan berdiri tidak berbuat apa-apa, saya masih bersemangat,” katanya ketika ditemui media selepas sesi latihan bersama pasukan PKNS FC semalam.

Nazmi berada dalam skuad Kim Swee ketika mereka berjaya mempertahankan pingat emas Sukan SEA di Jakarta pada 2011, dia juga membarisi pasukan yang sama dalam kelayakan Sukan Olimpik 2012 London.

“Saya mahu jelaskan di sini bahawa perjalanan saya bukannya sudah habis dalam skuad kebangsaan, saya mahu berjuang, saya tidak kisah tentang apa yang diperkatakan orang tentang diri saya.

“Saya perlu menunjukkan sesuatu, untuk diserapkan dalam skuad bawah 23 tahun negara, fokus saya sekarang ini adalah berlatih dengan bersungguh-sungguh bersama PKNS,” kata bekas pemain S.C Beira Mar itu.

Ditanya mengenai perkembangannya bersama PKNS, Nazmi berkata, semuanya berjalan lancar dan dia harus berlatih dengan lebih baik beserta usaha sendiri, tidak cukup sekadar mengikut latihan bersama rakan sepasukan.

“Sekarang ini tidak ada masalah dengan rakan sepasukan, mereka memberi layanan yang baik terhadap saya. Saya juga mampu bergaul baik dengan mereka cuma saya perlu bekerja keras ketika latihan.

“Memang saya tidak dapat beraksi lagi sekarang ini tetapi tahap permainan dan kecergasan saya juga perlu lebih daripada pemain yang boleh beraksi, jadi saya perlu berusaha dengan lebih keras,” katanya. Sumber Utusan


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *