Pemain Asean dibawa masuk ke Liga Malaysia adalah cadangan yang baik – Shabery

Cadangan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menggunakan khidmat pemain import termasuk seorang di kalangan negara ASEAN dalam kancah Liga Malaysia dapat mengeratkan lagi hubungan antara negara anggota ASEAN, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Katanya, cadangan FAM itu adalah menarik memandangkan satu masa nanti negara ASEAN boleh membida menjadi tuan rumah Piala Dunia.

“Kita memerlukan banyak lagi unsur-unsur seperti ini dalam merapatkan hubungan bagi memenuhi tuntutan Komuniti ASEAN,” katanya ketika ditemui pemberita pada persidangan Majlis Perundingan Belia Negara di Hotel Berjaya Times Square, di sini, hari ini. 

Pada 28 April lalu, Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa mengumumkan bahawa bermula musim depan, pemain import akan kembali mewarnai arena bola sepak tanah air dan seorang daripada mereka mestilah dari negara ASEAN.

Annuar berkata, penggunaan khidmat pemain import diharapkan dapat memberi sumbangan dan pendedahan kepada pemain tempatan untuk beraksi lebih kompetitif.

FAM mula membenarkan khidmat pemain import beraksi dalam Liga Malaysia dengan pengenalan Liga Semi Pro pada 1989 sebelum menamatkan khidmat mereka bermula musim 2009.

Mengulas prestasi hambar Malaysia pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Ahmad Shabery berkata, pasukan negara perlu melakukan kejutan dalam baki tiga perlawanan bagi mengembalikan keyakinan.
Dalam saingan tersebut, Malaysia gagal mengumpul sebarang mata selepas tiga perlawanan apabila kalah 1-3 kepada England, 1-2 (Australia) dan 2-5 kepada India.

Skuad hoki negara masih mempunyai tiga lagi perlawanan iaitu menentang Australia esok dan diikuti Korea Selatan (Khamis) dan Pakistan pada Sabtu ini.

Selepas kejohanan itu, skuad tersebut dijadualkan menyertai Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia pertama di Ordos, China dari 3 hingga 11 Sept depan.
— BERNAMA


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *