PEMUDA PARAH KENA TETAK 11 KALI DEMI SELAMATKAN KELUARGA

Siapa tak sayang keluarga. Rasanya semua lelaki yang ada di Malaysia ini juga bersedia untuk berkorban nyawa demi pertahankan keluarga mereka. Itulah yang sewajarnya kan. Salah seorang dari mereka adalah Mohd Arsyad Othman, 26, yang ditetak 11 kali di tangan, kaki dan badannya oleh lima penyamun yang memecah masuk rumahnya awal pagi semalam.

Memetik laporan BH Online, demi melindungi keluarganya, Arshad nekad melawan lima penyamun yang memecah masuk rumahnya sehingga parah dengan beberapa anggota badannya ditetak dengan parang di FELDA Keratong 5, dekat Muadzam Shah. Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, Mohd Arsyad Othman, 26, ditetak 11 kali di tangan, kaki dan badannya oleh lima lelaki terbabit yang bersenjatakan parang dan batang kayu. Difahamkan, ketika Arsyad bertarung nyawa berlawan dengan dua lelaki terbabit, tiga lagi penyamun bertindak mengawal ibu mangsa, Zaharah Bakar, 57, dan adiknya, Nor Adibah.

arshad-parah-ditetak-penyamun-di-felda-keratong

Menceritakan detik cemas itu, Mohd Arsyad berkata, dia nekad melawan penyamun terbabit kerana bimbang keselamatan ibu dan adik perempuannya.

“Saya sedang tidur di ruang tamu rumah sebelum dikejutkan seorang daripada lelaki terbabit yang bertindak memukul belakang badan saya dengan kayu. Ada lima penyamun dalam rumah dengan tiga daripada mereka mengepung ibu dan adik saya. Seorang daripada mereka cuba menetak kepala saya menggunakan parang, namun saya sempat menahan dengan tangan. Saya kemudian mencapai sebatang besi yang berada berhampiran dan menghayun ke arah penyamun supaya tidak mengapa-apakan ibu dan adik saya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, dua daripada penyamun terbabit terus menyerang dan menetaknya, namun serangan itu dibalasnya demi mempertahankan diri dan keluarga.

“Saya menggagahkan diri melawan walaupun penyamun berkenaan melibas parang berulang kali sehingga mengenai beberapa bahagian badan saya,” katanya anak keenam daripada tujuh beradik itu.

Arsyad berkata, melihatkan tindakan agresifnya, penyamun terbabit kemudian melarikan diri dan hanya sempat mengambil dompetnya yang mengandungi wang tunai RM400 dan sebuah komputer riba.

p/s: Harap penyamun berkenaan segera diberkas. Orang sebegitu tak boleh dibiarkan bernyawa di negara kita ni. Menyusahkan orang lain sahaja. Semoga Allah membalas perbuatan mereka.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *