PKNS tunjukkan LionsXII jalan keluar

su_02.1

PETALING JAYA – Badi kekalahan LionsXII kepada PKNS berterusan apabila tewas 1-0 pada pusingan pertama Piala FA 2013 di Stadium Petaling Jaya semalam.

Perlawanan yang sepatutnya berlangsung kelmarin ditunda semalam akibat hujan lebat dan padang ditakungi air, namun ia sedikit pun tidak menggusarkan pasukan bimbingan Abdul Rahman Ibrahim untuk mengulangi kemenangan yang dicatatkan sebelum ini dalam saingan Liga Super.

Menurut Abdul Rahman, walaupun anak buahnya menang dan berjaya melangkah ke pusingan kedua tetapi dia menganggap mereka hanya bernasib baik, di tambah pula pelawat terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-25.

“Kita sebenarnya tidak mempunyai kemampuan untuk mematikan Lions sejak dari awal, tambahan pula mereka beraksi dengan 10 pemain,” katanya.

Raihan Rahman menerima kad kuning kedua, kerana sudah menerimanya pada perlawanan kelmarin. Mengikut peraturan, hanya kad dibawa ke perlawanan ulangan manakala jaringan harus bermula 0-0. PKNS mendahului 1-0 ketika perlawanan kelmarin hasil jaringan Helmi Remeli sebelum ia ditunda 10 minit sebelum rehat.

Ditanya apakah rahsia PKNS kerana berjaya menewaskan LionsXII buat kali kedua berturut-turut tahun ini, Abdul Rahman berkata, mungkin kerana pasukannya lebih bermotivasi dan lawan memandang rendah kepada mereka.

“Mereka memandang rendah keupayaan kami kerana PKNS adalah sebuah pasukan yang kurang dikenali. Tahun lepas juga kami menewaskan mereka dua kali.”

Satu lagi perlawanan yang turut ditunda kelmarin, menyaksikan Negeri Sembilan menempah tiket pusingan kedua selepas menumpaskan UiTM 2-0 di Stadium UiTM Shah Alam semalam.

Pemain import dari Argentina, Emanuel De Porras muncul wira dengan menjaringkan kedua-dua gol pada minit ketujuh dan 45. Negeri Sembilan akan bertemu Pos Malaysia di pusingan kedua, manakala PKNS menentang juara bertahan, Kelantan pada 26 Februari depan.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *