Slot Terakhir Liga Juara Milik Arsenal

untitled

Arsenal berjaya menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris musim ini di tangga keempat untuk mengisi slot terakhir ke Liga Juara-Juara selepas berjaya mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Newcastle di gelanggang lawan, malam tadi.

Dengan kemenangan itu, pencabar mereka, Tottenham terpaksa sekadar berpuas hati di tangga kelima untuk slot ke Liga Europa meskipun turut meraih kemenangan 1-0 ke atas Sunderland pada aksi terakhir Liga Perdana Inggeris itu.

Namun hajat Arsenal untuk meraih tempat ketiga bagi slot automatik ke Liga Juara-Juara tidak kesampaian apabila ia menjadi milik Chelsea yang berjaya menewaskan Everton 2-1, malam tadi.

Selepas berakhir semua 38 perlawanan musim ini, Manchester United muncul juara dengan 89 mata diikuti Manchester City dengan 78 mata, Chelsea 75 mata, Arsenal 73 mata dan Tottenham 72 mata untuk lima kedudukan teratas.

Di St James’ Park, gol tunggal Laurent Koscienlny pada minit ke-52 sudah cukup untuk membolehkan Arsenal meraih tiga mata penuh ke atas pasukan tuan rumah, Newcastle.

Di White Hart Lane, Tottenham hampir saja terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri tanpa jaringan ketika bertemu Sunderland, mujur Gareth Bale muncul wira apabila menjaringkan gol tunggal kemenangan tuan rumah pada minit ke-89.

Di Stamford Bridge, jaringan awal Juan Mata pada minit ke-7 disamakan Everton menerusi Steven Naismith minit ke-14 sebelum Fernando Torres tampil menjaringkan gol kemenangan Chelsea pada minit ke-76.

Baki tujuh perlawanan malam tadi menyaksikan Liverpool menewaskan QPR 1-0, City tewas 2-3 kepada Norwich, Southampton seri 1-1 dengan Stoke, Swansea tewas 0-3 kepada Fulham, West Brom seri 5-5 dengan United, West Ham menewaskan Reading 4-2 manakala Wigan seri 2-2 dengan Aston Villa.

Tiga pasukan tercorot, Wigan, Reading dan QPR bakal turun ke Liga Kejuaraan, musim depan.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *