Terengganu kejutkan ATM Bermain Tanpa Pemain Import

su_01.1

KUALA TERENGGANU – Tanpa empat tonggak utama termasuk dua pemain import, Terengganu membuat kejutan dengan menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-2 biarpun terpaksa berhempas-pulas sehingga ke masa kecederaan dalam aksi bola sepak Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, semalam.

Biarpun berada di tangga kedua tercorot liga, mata kemenangan kedua ini cukup bermakna apatah lagi dengan menundukkan pendahulu liga, ATM apabila berjaya memecah kebuntuan gol hasil jaringan Md. Khairul Ramadhan pada minit ke-28.

Terengganu yang beraksi tanpa Effa Owona, Vincent Bikana, Muhammad Faizal Mohd. dan Ismail Faruqi sering menjadi sasaran mudah pelawat apabila sesekali rembatan anak didik B.Sathianathan tepat ke gawang tuan rumah, namun dapat diselamatkan.

Pelawat mula bangkit pada babak kedua dengan serangan bertali-arus ke gawang tuan rumah sehingga berlaku kekalutan dalam kotak penalti Terengganu sekali gus memberi ruang pelawat memperoleh gol hasil tandukan pemain import ATM, Marlon Alex James pada minit ke-74.

Tersentak dengan aksi garang pelawat, Terengganu terus menajamkan jentera serangan yang kemudiannya menghasilkan gol tambahan buat anak didik E.Elavarasan hasil rembatan kencang Md. Ashaari Samsudin pada minit ke-80 selepas bola yang ditepis penjaga gol ATM, Md. Farizal Harun melantun kepadanya.

Bagaimanapun, ATM yang enggan mengaku kalah terus memberi tentangan hebat apabila berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-89 hasil sekali lagi kekalutan di pintu gol tuan rumah yang tidak berjaya dihalang oleh penjaga gol Terengganu, Md. Sharmiza Yusoff.

Tidak mahu dirundung kekalahan lagi selepas tewas 0-2 dengan Kelantan pada perlawanan lalu, skuad Penyu bertarung habis-habisan dengan memanfaatkan masa tambahan empat minit apabila rembatan Ashaari yang menjadi penyelamat pasukan itu berjaya diperoleh sekali gus menafikan impian ATM memperoleh tiga mata penuh pada pertembungan itu.

Dalam pada itu, jurulatih pasukan Terengganu, Elavarasan mengakui kemenangan menentang pasukan teratas liga itu memberi motivasi dan semangat buat pasukannya.

“Walaupun tanpa empat tonggak kita berjaya kalahkan pasukan kuat ini dan kita harus beri pujian kepada pemain yang beraksi cemerlang sehingga ke masa tambahan dan berjaya memperoleh gol kemenangan,” katanya.

Sementara itu di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang yang terpaksa bermain dengan 10 orang, bernasib baik berjaya mengikat Kelantan 2-2 selepas dihadiahkan sepakan penalti pada saat akhir.

Norfarhan Muhammad membuka tirai jaringan untuk pasukan pelawat pada minit ke-10, sebelum Mohd. Hafiz Kamal menyamakan kedudukan skuad Tok Gajah pada minit akhir separuh masa pertama.

Pahang bagaimanapun terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-61 selepas Mohd. Hafiz dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan, Lismotia Mohem Mohd. Tisan kerana mengasari pemain Kelantan, Mohd. Zamri Ramli.

Pasukan pelawat mengambil peluang kekurangan seorang pemain tuan rumah apabila mereka menggandakan kedudukan menerusi gol tandukan penyerang import, Keita Mandjou pada minit ke-83.

Skuad Tok Gajah yang mendapat sokongan 30,000 penyokong bagaimanapun tidak berputus asa dan berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan penyerang Mohd. Fauzi Rozlan pada minit ke-85.

Sepakan penalti itu diberikan pengadil Lismotia Mohem selepas pertahanan Kelantan Obinna Nwaneri menjatuhkan Mohd. Fauzi dalam kotak penalti. Sumber Utusan


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *