Terlepas Hukuman Gantung, Zack Kekal Ahli New Boyz

Zack (New Boyz) Bebas Hukuman Gantung

SHAH ALAM: Pemain bes kumpulan New Boyz iaitu Radin Irwan Dzul Karnain Isagani atau Zack dilepas dan dibebaskannya oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat daripada tuduhan mengedar kanabis seberat 1,321 gram, tiga tahun lepas, tanpa dipanggil membela diri.

Hakim Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu selepas mendapati terdapat banyak kelemahan dalam siasatan polis yang membawa kepada kegagalan pihak pendakwaan membuktikan kes prima facie.

Zack, 33, didakwa mengedar dadah kanabis seberat 1,321 gram di satu unit sebuah kondominium di Persiaran Surian, Petaling Jaya dekat sini, pada 9.20 malam, 26 Januari 2010.

Bapa kepada dua orang anak itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

thumb.php1

Dalam penghakimannya, Akhtar berkata tiada keterangan mengenai pemilikan dadah. “Walaupun dikatakan tertuduh yang buang (dadah) tetapi ia hanya menunjukkan pengetahuan bukan pemilikan (ke atas dadah). Justeru saya berpendapat pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie dan tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan,” katanya.

Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Norhani Mohamad Adzhar mengemukakan tujuh saksi sementara pembelaan yang diwakili Puan Sri N Saraswathy Devi memanggil seorang saksi.

Zack ketika ditemui pemberita di luar mahkamah bersyukur kerana akhirnya keadilan berpihak kepadanya selepas hampir tiga tahun di reman di Penjara Sungai Buloh, di sini.

Ditanya mengenai hubungannya dengan anggota New Boyz yang lain, beliau berkata rakan-rakannya sering melawat beliau di penjara dan sepanjang berada dalam tahanan beliau sempat mencipta 12 lagu baharu untuk kumpulannya itu.

 


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *