Tewaskan Juara Treble Suntik Semangat Titans

409678_410808678998463_186148077_n

MESKIPUN turun tanpa pemain bertaraf bintang, namun pasukan berstatus kelab T-Team berjaya mengejutkan juara treble musim lalu dengan mengutip tiga mata penuh di laman sendiri, pada aksi kedua Liga Super, kelmarin, lapor ZUBIR SULAIMAN.

Lebih manis kemenangan itu diraih ketika pengendalinya, Peter Butler berdepan dengan bekas anak didiknya dua tahun lalu.

Begitu pun, jurulatih kelahiran England itu enggan mendabik dada dan mengakui amat berpuas hati dengan semangat ditunjukkan anak buahnya sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung.

Menurutnya, dia kagum dengan kesungguhan ditunjukkan setiap pemain dan berjaya mengekang setiap asakan pasukan Kelantan sepanjang perlawanan itu.

“Saya sangat gembira melihat corak permainan mereka, kita bermain dengan baik sekali dan secara teknikalnya semua amat baik.

“Malah, saya mengharapkan corak permainan sebegini dapat terus dikekalkan pada saingan seterusnya. Saya juga mahu ucapkan terima kasih kepada penyokong yang tidak putus-putus memberi sokongan kepada kami,” katanya ketika ditemui sejurus selepas tamat perlawanan, petang kelmarin.

Sementara itu, peledak gol tunggal kemenangan The Titans, Mohd Mohd Aizulridzwan Mustafa berkata, dia amat bersyukur kerana dapat membantu pasukan meraih tiga mata penuh dan akan terus memberikan aksi terbaik pada perlawanan seterusnya.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *