TMJ Digantung Enam Bulan, Denda RM18,000

untitledht

PERSATUAN Bola sepak Malaysia (FAM) hari ini mengenakan hukuman gantung enam bulan dan denda RM18,000 ke atas Presiden Persatuan Bola Sepak Johor (PBNJ), Tunku Ismail Tunku Ibrahim kerana melanggar Artikel 88 badan itu.

Tunku Ismail didapati bersalah mengeluarkan kenyataan yang disifatkan menentang dan menjatuhkan kredibiliti FAM.

Sepanjang tempoh penggantungan, Tunku Ismail dilarang melibatkan diri dengan mana-mana aktiviti persatuan bola sepak, berkuat-kuasa hari ini.

Tunku Ismail juga dikenakan denda RM18,000 kerana melakukan dua kesalahan.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Abd Razak berkata, Tunku Ismail tidak boleh mengemukakan rayuan.

“Setelah mengambil kira semua aspek termasuk pengakuan bersalah Tunku Ismail, jawatankuasa yang bersidang hari ini bersetuju mengenakan hukuman ke atas beliau atas dua kesalahan.

“Bagi kesalahan pertama, Tunku Ismail bersalah memberi kenyataan akhbar yang melanggar Artikel 88 Statut FAM dan bagi kesalahan itu dia digantung enam bulan dan didenda RM8,000.

“Pertuduhan kedua di bawah kod 18.5, artikel yang sama, dia telah mengeluarkan kenyataan yang menghina, mengaibkan serta mencemar nama baik FAM dan didenda sebanyak RM10,000,” katanya pada sidang media di Wisma FAM, hari ini.

Tambah Taufek, “jumlah keseluruhan denda bagi semua kesalahan ialah RM18,000 dan digantung enam bulan daripada terlibat dalam mana-mana aktiviti persatuan bola sepak.”

“Hukuman ini tidak boleh dirayu kerana ia hukuman paling minimum,” ujar Taufek.

Pada 20 Februari lalu, Tunku Ismail mempersoalkan mutu pengadilan bola sepak tanah air yang disifatkan tidak berkualiti selepas melalui tujuh perlawanan Liga Malaysia.

Menurutnya, masalah itu bukan sahaja melibatkan Johor Darul Takzim dan Johor tetapi turut melibatkan pasukan lain.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *