Wanita dibunuh kejam dalam kereta di Serdang

1069257_531721023560769_1182817373_n

SERDANG – Tanda tanya dan kerisauan seorang suami terhadap isteri yang tidak pulang ke rumah seperti kebiasaannya terjawab apabila wanita itu ditemui mati dijerut serta ditikam kira-kira 200 meter dari tempatnya bekerja di Serdang Perdana, lewat malam kelmarin.
Mangsa berusia 39 tahun ditemui suami dan majikan tempatnya bekerja di tempat duduk penumpang sebelah pemandu dalam kereta jenis Honda City yang diletakkan di tempat letak kereta berbayar di sini.
Ketua Polis Daerah Serdang, Superintenden Abd Razak Elias berkata, mangsa yang bekerja sebagai pembantu peribadi di sebuah syarikat teknologi maklumat di Serdang Perdana biasanya dikatakan tiba di rumah setiap hari jam 8 malam.
Menurutnya, kelewatan mangsa pulang ke rumahnya di Bandar Kinrara, Puchong malam kelmarin menimbulkan kegusaran kepada suaminya yang kemudian bertindak menghubungi majikan tempat wanita itu bekerja.
“Selepas lebih kurang sejam tidak pulang ke rumah, suami bersama majikan mangsa kemudian mencari isterinya sekitar kawasan bangunan komersial itu.
“Kira-kira jam 10.30 malam, suami mangsa menemuinya dalam kereta yang biasa dipandunya dalam keadaan berlumuran darah dan tidak bernyawa,”katanya suami mangsa kemudian menghubungi polis.
Abd Razak berkata, sebaik menerima panggilan kira-kira 11.45 malam sepasukan anggota polis tiba di tempat kejadian dan mendapati satu mayat wanita dalam keadaan terbaring di dalam kereta yang tidak berkunci.
“Siasatan mendapati mangsa dijerut wayar pembesar suara dan ditikam di bahagian kiri leher menggunakan pisau.
“Sebilah pisau sepanjang enam inci ditemui di luar pintu kereta di bahagian pemandu dan dawai sepanjang satu kaki berhampiran mayat mangsa,”katanya kejadian dipercayai berlaku dalam kereta ketika hujan lebat berdasarkan keadaan dalam kereta.
Beliau berkata, motif kejadian masih dalam siasatan dan pihaknya percaya suspek lebih daripada seorang. Siasatan awal mendapati tiada kesan pergelutan yang berlaku.
“Ada beberapa biji limau mandarin yang sedia dikupas ditemui dan dipercayai berkemungkinan mangsa mungkin sedang menikmatinya ketika itu. Berkemungkinan juga mangsa yang mempunyai dua anak masih kecil sedang bersembang dengan suspek tetapi belum ada petunjuk penuh berhubung perkara itu.
“Pemeriksaan mendapati telefon bimbit, dompet dan beg tangan milik mangsa hilang. Suami mangsa memaklumkan mangsa adalah seorang isteri yang baik dan tidak mempunyai musuh dengan sesiapa,”katanya.
Beliau berkata, kes di siasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat. -Wb


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *